Jumaat, 11 Ogos 2017 | 4:55pm
PRESIDEN Persatuan Badminton Selangor, Senator Datuk V Subramaniam (depan tengah) bersama Pengarah Urusan Fleet, Teo Tong Wah (depan dua dari kiri); Pengurus NVBA, Manojkumar (depan dua dari kanan) bergambar bersama pada majlis penyerahan tajaan Fleet di Hotel Olympic. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Habuan lumayan tunggu Yogendran di Glasgow

KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan lelaki negara, K Yogendran bersedia untuk melakukan penampilan sulung di Kejohanan Dunia yang bermula 21 Ogos ini bergandingan bersama Prajakta Sawant dalam acara beregu campuran.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, sejak dia mula bergandingan bersama Prajakta yang berasal dari India Januari tahun lalu, mereka berjaya menunjukkan peningkatan mendadak seterusnya mara ke kejohanan berkenaan secara merit.

"Kami berjaya menunjukkan peningkatan yang mendadak dan sebagai pemain yang bernaung di bawah Akademi Badminton New Vision (NVBA) sudah tentu saya berasa bangga kerana dapat melayakkan diri ke kejohanan ini," katanya dalam sidang media selepas majlis penajaan bersama Fleet International Holdings Sdn Bhd.

Yogendran berkata, mereka sudah melakukan persiapan terbaik dalam tempoh dua bulan dan yakin mampu menghadirkan keputusan memberangsangkan di kejohanan yang berlangsung di Glasgow, Scotland itu.

"Kami berharap mampu memberikan yang terbaik dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, rakan sparring, Fleet International dan NVBA.

"Bonus yang dijanjikan oleh penaja juga memberikan saya motivasi tinggi untuk beraksi cemerlang di sana," kata Yogendran.

Fleet International menjanjikan habuan sebanyak RM20,000 jika berjaya mara ke suku akhir, RM50,000 untuk separuh akhir dan RM100,000 bakal menanti mereka seandainya mampu merangkul gelaran juara dunia acara beregu campuran.

Pasangan ini yang menduduki ranking ke-43 dunia mengakui undian Kejohanan Dunia yang berlangsung Rabu lalu diterima dengan seadanya apabila bakal berdepan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Chiang Kai Hsin di pusingan pertama.

"Undian agak baik buat kami tapi ini adalah Kejohanan Dunia ia sangat berprestij, tidak ada siapa boleh mengambil mudah. Siapa yang melakukan persiapan dengan baik termasuk dari segi kemahiran dan kecergasan belum tentu boleh berjaya jika tiada kekuatan mental," katanya.

Sementara itu, Prajakta mengucapkan ribuan terima kasih kepada NVBA, jurulatih dan semua pihak yang memberi sokongan padu kepadanya sehingga berjaya mara ke Kejohanan Dunia buat kali pertama.

"Saya gembira apabila berjaya melayakkan diri, sekarang kami sudah berlatih dengan keras dan akan memberikan yang terbaik di sana," kata pemain kelahiran Mumbai berusia 25 tahun itu.

Pada majlis berkenaan Fleet International menghulur tajaan peralatan sukan kepada semua empat pemain elit dan enam pemain remaja NVBA bernilai RM300,000 selama setahun bermula 1 Ogos lalu.

748 dibaca
Berita Harian X