Khamis, 11 Oktober 2018 | 12:04pm
Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Sebastian Coe di Taman Olimpik Belia di Buenos Aires berikutan wawancara dengan AFP. - Foto AFP

Penggantungan olahraga Russia ditentukan Disember

BUENOS AIRES: Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Sebastian Coe mengesahkan keputusan sama ada hukuman penggantungan ke atas Russia akan ditarik semula hanya akan dibuat pada Disember ini.

Bagaimanapun, Coe mengakui pihaknya masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat, bagi menilai sepenuhnya sama ada Agensi Anti Doping Dunia (WADA) berhak menarik semula hukuman penggantungan tiga tahun ke atas agensi anti doping Russia.

Hukuman penggantungan itu mula dikenakan sejak 2015 selepas kementerian sukan Russia didapati bersalah dalam mendalangi institusi doping negara berkenaan.

Kini, tumpuan terarah kepada Coe untuk membenarkan Russia kembali beraksi dalam sukan trek dan olahraga apabila Jawatankuasa IAAF bertemu di Monaco pada 4 Disember ini.

Apabila ditanya sekiranya terdapat sebarang keputusan pengembalian semula hak Russia dalam sukan itu, Coe berkata: "Iya, terdapat kemungkinan itu."

"Ada mesyuarat dengan Persekutan Olahraga Russia dalam beberapa minggu akan datang, kita akan menunggu cadangan kumpulan kerja dan jawatankuasa IAAF akan mempertimbangkannya sebaik mungkin," katanya. - AFP

146 dibaca
Berita Harian X