Rabu, 10 Oktober 2018 | 10:06pm
RIDZUAN Puzi (tengah) bergambar bersama pemenang tempat kedua, Al Harrasi Taha Abdullah Rashid (kiri) dan Kahrizi Farhad (ketiga) selepas acara 400m T36 sempena Temasya Sukan Para Asia Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. - Foto BERNAMA

'Dik Wan' tuai emas lagi

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara menambah dua lagi emas Sukan Para Asia Indonesia hari ini dengan pelari pecut Ridzuan Puzi kembali menjadi tumpuan dalam acara trek.

Selepas memenangi 100m T36 dengan catatan rekod dunia baharu semalam, Ridzuan yang lebih mesra dipanggil 'Dik Wan’ hari ini merangkul emas acara 400m T36 dengan catatan 59.36 saat di Gelora Bung Karno, Jakarta.

Al Harrasi Taha Abdullah Rashid dari Oman di tempat kedua (59.75s) manakala Kahrizi Farhad dari Iran ketiga (1:00.39s).

Faizal Aideal yang memenangi emas dalam acara berkenaan di Incheon empat tahun lalu, terpaksa akur dengan kilauan gangsa acara lelaki 100m T12 dengan catatan 11.40s.

Acara ping pong menyaksikan Chee Chaoming dan Ting Ing Hock mengungguli emas beregu lelaki TT8-9 selepas menewaskan gandingan tuan rumah Prahasta Mohamad Rian-Kusnanto 11-7, 8-11, 11-6  di Econvention Ancol.

Di kolam renang Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, Muhammad Nur Syafiul Zulkafli dan Jamery Siga mengutip perak dan gangsa menerusi acara 200m S5 lelaki selepas masing-masing mencatat 3:02.57s dan 3:03.83s. Perenang Vietnam Vo Thanh Tung merangkul emas dengan catatan 3:00.02s.

Dalam acara tenpin bowling, Mohd Khairul Ishak dan Zahidi Lamsah meraih perak kategori beregu TPB8+TPB8 (campuran) selepas mengumpul 2,240 jatuhan pin di Pusat Bowling Jaya Ancol.

Mohd Azrin Rahim dan Abu Bakar Nyat turut merangkul perak dalam kategori beregu TPB9+TPB9 (campuran) selepas membuat 2,465 jatuhan pin.

Sementara itu Mohd Rizal Hassan-Muhamad Hairul Miran mengutip gangsa acara beregu TPB1+TPB3 (campuran) dengan 2,193 jatuhan pin. Beregu campuran TPB4 + TPB4 menyaksikan Abg Yahya Abg Azhar dan Nur Syazwani Marais juga di tempat ketiga dengan 2,285 jatuhan pin.

Dengan temasya masih berbaki tiga hari, Malaysia kini sudah mengumpul sembilan emas, 12 perak dan 17 gangsa untuk berada di kedudukan kelapan keseluruhan.

China mendahului dengan kutipan pingat 102-50-39 manakala Korea Selatan dan Iran di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 35-31-26 dan 28-23-27.

Masih ada 34 emas ditawarkan dalam acara olahraga, 18 di kolam renang dan enam daripada berbasikal trek.

1172 dibaca
Berita Harian X