Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:12pm
Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly.

Rahsia kejayaan Ridzuan, Latif

KUALA LUMPUR: Misi jelas hanya untuk memenangi pingat emas menjadi kunci kejayaan kepada dua atlet para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly yang mempamer aksi cemerlang sehingga mencipta rekod baru dunia dalam acara masing-masing di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta semalam.

Ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R Jeganathan berkata, fokus dan latihan yang berterusan sebaik berakhir temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), September tahun lalu juga antara tonik kejayaan anak buahnya di Jakarta.

"Latihan untuk Ridzuan bermula selepas berakhir Sukan Para ASEAN. Ketika itu, kita tentukan untuknya memenangi acara 100 meter (di Sukan Para Asia) sebab pada tahun lalu dia tewas kepada pelari dari China di Kejohanan Dunia.

"Proses persiapan melalui beberapa fasa dengan pertamanya fasa 'conditioning' sehingga April, latihan spesifik sehingga Jun dan kemudian menyertai kejohanan.

"Yang agak berbeza tahun ini ialah saya mencampurkan mereka berlatih dengan atlet normal. Daripada situ nampak peningkatan Ridzuan manakala (Abdul) Latif juga memulakan latihan dalam tempoh sama dengan sasaran utama meraih emas juga di Indonesia," katanya.

Jelas Jeganathan tidak kira sama ada Ridzuan atau pun Abdul Latif, kesemua atlet para negara diletakkan sasaran tertentu.

"Untuk sesi latihan pula bukanlah setiap hari atlet perlu melakukan catatan terbaik. Ada hari yang mereka dapat lakukan hanya 75 peratus daripada catatan peribadi terbaik dan mungkin kurang atau jauh lebih baik pada hari-hari yang lain.

"Sebagai jurulatih kami perlu tahu apa matlamat setiap atlet dan sehingga tahap mana yang dirasakan mampu dilakukan oleh atlet itu.

"Ia adalah kaedah biasa tapi kami perlu faham apakah keperluan setiap atlet," katanya.

Semalam Mohamad Ridzuan mencatat masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis 2013.

Abdul Latif turut mempamerkan aksi terbaik dengan memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran).

Dia melakukan lompatan sejauh 7.64 meter sekali gus memadamkan rekod terdahulu miliknya 7.60 meter yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.

448 dibaca
Berita Harian X