Ahad, 30 September 2018 | 5:45pm
BADRUL Hisyam Abdul Manap - Foto RASUL AZLI SAMAD

MSN Melaka perlu bertanggungjawab

 

KUALA LUMPUR: Seperti ada yang tidak kena jika dilihat prestasi atlet Melaka dalam acara olahraga pada penampilan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang lalu.

Daripada keseluruhan 135 pingat ditawarkan dalam olahraga iaitu masing-masing 45 pingat untuk emas, perak dan gangsa - kontinjen olahraga negeri itu hanya meraih satu gangsa menerusi  Muhammad Fakhrul Razi Jailani dalam acara 20,000 meter jalan kaki.

Ia jauh berbeza berbanding pencapaian lima emas dan empat rekod baru kejohanan ketika beraksi di SUKMA Sarawak termasuk emas dalam acara riben biru menerusi Khairul Hafiz Jantan.

Malah ketika Melaka dilihat berpeluang cerah mempertahankan emas dalam acara 100 meter (m) menerusi Badrul Hisyam Abdul Manap, nama pelari itu digugurkan daripada senarai.

Pengguguran Badrul itu mengukuhkan lagi khabar angin bahawa isu perbalahan antara Majlis Sukan Negeri Melaka dan atlet tahun lalu masih belum selesai sehingga Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai temasya itu.

Tahun lalu Khairul Hafiz, Badrul dan Asnawi Hashim mengambil keputusan tidak mewakili Melaka selepas MSN negeri di dakwa tidak bertanggungjawab dan mengabaikan kebajikan atlet.

Badrul ketika diminta mengulas adakah isu pengguguran namanya dalam acara 100m di SUKMA itu berkaitan dengan MSN Melaka, atlet berusia 21 tahun itu mengambil pendekatan mengunci mulut biarpun daripada raut wajahnya begitu kecewa.

Dia yang pernah merekodkan 10.29 saat ketika Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN tiga tahun lalu, dilihat mampu menjadi pencabar utama gelaran juara pecut SUKMA yang akhirnya menjadi milik pelari Selangor Muhammad Aqil Yasmin.

Jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim turut mengambil pendekatan sama dan kehadirannya di SUKMA Perak itu bukan atas tiket sebagai jurulatih Melaka.

“Saya tak mahu mengulas lanjut. Boleh terus tanya kepada MSN Melaka kerana kehadiran saya di Perak sebagai pemerhati bebas dan bukan di bawah Melaka,” katanya.

1166 dibaca
Berita Harian X