Sabtu, 29 September 2018 | 8:49pm
MUHAMMAD Aqil Yasmin. - Foto Abdullah Yusof

Aqil bawa aura positif ke Kejohanan ATM

 

KUALA LUMPUR: Aura positif selepas bergelar Raja Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) akan menjadi bekalan buat Muhammad Aqil Yasmin bagi dibawa ke Kejohanan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlangsung di Lumut bermula 3 hingga 5 Oktober ini.

Aqil yang meraih gelaran berganda di SUKMA Perak dalam acara 100 dan 200 meter (m) baru-baru ini bagaimanapun menegaskan hanya akan menyertai acara 200m dan 4x100m.

Ia kerana Kejohanan ATM itu hanyalah bertujuan untuk mengekalkan rentak larian berikutan fokus utamanya adalah kejohanan lebih kompetitif seperti Kejohanan Olahraga Universiti ASEAN (AUG) di Myanmar pada Disember ini.

“Saya hanya mengikut perancangan jurulatih (Simon Lau) kerana beliau tahu apa yang terbaik bagi saya.

“Kejohanan AUG lebih besar dan jika boleh saya mahu melakukan yang terbaik seperti mencatat rekod peribadi sekali lagi jika boleh,” katanya yang pertama kali akan beraksi di AUG.

Ditanya sama ada dia dia boleh mencapai kemuncak prestasi sekali lagi, Aqil yang merekodkan catatan terbaik peribadi 10.39 saat (s) ketika SUKMA lalu berkata, dia yakin masih boleh memberi yang terbaik di AUG nanti.

Atlet kelahiran Klang Selangor itu dijangka akan beraksi bersama Johnathan Nyepa di AUG namun tidak pasti pesaing daripada negara jiran yang lain.

Bagaimanapun itu bukan satu masalah buat dirinya dan dia yakin akan perancangan jurulatih yang mampu untuk menjadikannya sebagai pelari terbaik negara satu hari nanti.

365 dibaca
Berita Harian X