Jumaat, 21 September 2018 | 9:22pm
MUHAMMAD Aqil Yasmin - Foto BERNAMA

Fang Der, Rayna calon pilihan olahragawan, olahragawati

IPOH: Sukan Malaysia (SUKMA) akan melabuhkan tirainya esok dengan persoalan siapakah atlet yang akan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati temasya.

Beberapa nama menjadi calon pilihan dan persaingan sengit membabitkan calon olahragawan tampak seimbang.

Berdasarkan prestasi di temasya Perak kali ini persaingan dijangka membabitkan perenang Johor, Tia'a Fang Der, raja pecut Sukma 2018, Muhammad Aqil Yasmin dan pemanah dari Sabah, Eugenius Lo.

Fang Der muncul atlet pertama memecah rekod kebangsaan di SUKMA dalam acara 400m rampaian individu lelaki dengan catatan 4 minit 30.48. 

Dia memedamkan rekod milik Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan yang mencatat 4:30.85 yang dilakukan pada Julai lalu di Sukan Sekolah-Sekolah Asean. 

Bagaimanapun, kemampuan raja pecut SUKMA yang meraih gelaran berganda dalam acara 100 dan 200m selain mencipta rekod temasya acara 200m turut dilihat mempunyai peluang dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA. 

Aqil mencipta rekod baru acara 200m dengan memadamkan rekod milik raja pecut ASEAN, Khairul Hafiz Jantan yang mencatat 21.14 saat yang dilakukan di SUKMA 2016.

Eugenius juga cemerlang memecahkan tiga rekod temasya dalam acara compound.

Sementara itu dalam saingan Olahragawati pula dilihat lebih sengit. 

Antara nama menjadi sebutan pastinya gimnas dari Wilayan Persekutuan Rayna Hoh yang menyapu bersih kesemua emas dipertandingkan dalam acara gimrama. 

Bagaimanapun atlet berbasikal Terengganu, Nur Aisyah Muhammad Zubir yang setakat ini meraih empat emas dan dijangka menambah lagi pungutan itu esok dalam acara basikal trek yang berlangsung di Velodrom Rakyat, turut dilihat mampu mencabar gelaran itu. 

Bagaimanapun tiga emas yang dihadiahkan ratu pecut Terengganu Azreen Nabila Alias dalam acara pecut 100m, 200m dan 4x100m, selain memecahkan rekod SUKMA berusia 10 tahun bagi acara 100m dengan catatan 11.81s sekali gus meleburkan rekod milik Siti Fatima Mohamad 11.82s yang dilakukannya ketika temasya sama di Terengganu 2008 juga antara calon pilihan. 

Bagi Azreen dia sedar akan saingan merebut gelaran itu dan tidak meletakkan sebarang harapan. 

Andai sudah tertulis bukan rezeki dia tetap berpuas hati dengan prestasi di SUKMA kali ini.

774 dibaca
Berita Harian X