Khamis, 20 September 2018 | 7:12pm
ATLET Terengganu, Azreen Nabila Alias. - Foto Abdullah Yusof

Azreen ratu 200m

IPOH: Selepas mengungguli acara 100m, pelari Azreen Nabila Alias dari Terengganu melebarkan penguasaan dengan meraih emas acara 200 meter (m) di Sukan Malaysia (SUKMA), di Stadium Perak.

Pelari berusia 18 tahun kini dilihat bakal mencabar penguasaan atlet pecut negara Zaidatul Husnia Zulkifli dalam acara pecut apabila muncul pemegang rekod baru acara 100m, membantu kuartet 4x100m meraih emas dan hari ini Azreen melepasi garisan penamat sebagai juara 200m.

Azreen mencatatkan masa 24.76s menewaskan pelari tuan rumah Shereen Samson Vallabouy 24.92s perak dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, Sabah 25.27s gangsa.

Katanya dia langsung tidak menyangka dapat meraih emas dalam acara itu berikutan Shereen antara nama disebut sebagai atlet pilihan.

"Saya cuma berharap dapat pingat dalam acara ini tapi bukan emas sebab saya tahu keupayaan pelari Perak itu.

"Saya cuba fokus berlari dan memberi yang terbaik dan Alhamdulillah pada jarak 50m terakhir saya berjaya memintas lawan," katanya yang dilihat mampu mencabar gelaran Olahragawati SUKMA ke-19.

Berlatih di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan M Balamurugan, Azreen berkata dia akan berusaha lebih kuat lagi selepas ini kerana sasarannya adalah untuk layak ke Sukan SEA Filipina tahun depan. 

 

 

1269 dibaca
Berita Harian X