Khamis, 20 September 2018 | 6:59pm
ATLET Selangor, Aqil Yasmin. - Foto Abdullah Yusof

Aqil kuasa baru acara pecut

IPOH: Dua tahun menunggu akhirnya Aqil Yasmin membuktikan dia sebagai kuasa baru dalam acara pecut apabila mengungguli acara 200 meter pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak.

Lebih membanggakan dia berjaya mencipta rekod baru dalam acara itu dengan masa 21.01 saat sekali gus meleburkan rekod temasya yang dicipta Khairul Hafiz Jantan 21.03s pada SUKMA Sarawak 2016.

Selepas bergelar Raja Pecut SUKMA Selasa lalu, larian bertenaga pelajar Universiti Teknologi MARA itu nyata sukar digugat oleh Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan yang menduduki tempat kedua 21.26s untuk perak dan gangsa milik Russel Alex Nasir Taib dari Perak, 22.30s.

Ditanya apa yang menjadi kekuatannya hingga berjaya merangkul gelaran berganda dan memecahkan rekod temasya dalam acara 200m, atlet kelahiran Klang, Selangor itu berkata, keluarga dan jurulatih Simon Lau yang sentiasa memberi dorongan dan memberi kata-kata perangsang menjadi kekuatannya mengejar kejayaan.

“Syukur alhamdulillah atas kejayaan hari ini. Ia kejayaan bermakna kerana dua tahun lalu saya hanya meraih perak dalam acara 200m tapi kali ini dua emas berjaya diraih.

“Biarpun pada mulanya saya jangkakan dapat melakukan catatan bawah 21.00s tapi tak mengapa sebab saya dah berjaya mendapat emas.

“Saya gembira dapat mencatat rekod baru dalam acara kegemaran saya ini dan memperbaiki catatan masa terbaik peribadi,” katanya.

Catatan terbaik Aqil dalam acara 200m sebelum ini adalah 21.31s yang dilakukan di SUKMA Sarawak.

1601 dibaca
Berita Harian X