Rabu, 19 September 2018 | 7:01pm

Kuartet 4x100m Terengganu lelaki, wanita tawan trek olahraga

IPOH: Kuartet 4x100 meter lelaki dan wanita Terengganu membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli kedua-dua acara itu di Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Stadium Perak.

Tanpa kelibat kuartet lelaki Melaka nyata memberi ruang buat barisan pelari Terengganu mengungguli acara itu.

Biarpun gagal memecahkan rekod kejohanan, barisan pelari Terengganu yang diketuai Mohammad Zulfiqar Ismail tetap gembira dengan pencapaian mereka kerana berjaya memperbaiki catatan terbaik kuartet berkenaan, 46.90s ketika menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia awal tahun ini.

Terengganu dibarisi Abdul Wafiy Roslan sebagai pelari pertama, Ahmad Firdaus Zakaria, Muhammad Saifuldin Rizuan Mohamad Ariffin dan Zulfiqar sebagai pelari terakhir melakar masa 40.21 saat (s) untuk emas, manakala barisan pelari tuan rumah di tempat kedua, 40.40s dan kuartet Sabah ketiga, 40.42s.

Bagi Zulfiqar, dia gembira dapat membantu menyumbangkan emas buat Terengganu selepas meraih gangsa dalam acara pecut 100m semalam.

Malah dia yang berpengalaman beraksi di pentas Sukan Asia dalam acara sama berkata, rahsia kejayaan pasukan Terengganu adalah fokus agar impian membawa pulang emas dapat digapai.

"Alhamdulillah dengan keadaan Wafiy tidak cergas sepenuhnya kerana mengalami kecederaan dan percaya pada diri sendiri, kami berjaya membantu menyumbangkan emas kepada Terengganu.

"Kami sudah berusaha memberi yang terbaik. Ikut arahan jurulatih dan jangan terlalu memikirkan lawan yang lain antara faktor utama kejayaan hari. Kami bangga dengan pencapaian ini," kata Zulfiqar yang berharap kuartet ini dapat dikekalkan untuk SUKMA Johor dua tahun lagi.

Sementara itu barisan pelari wanita Terengganu yang dibarisi ratu pecut SUKMA Azreen Nabila Alias sebagai pelari pertama, diikuti Nurul Alyssa Azman, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Siti Norzullaikan Ramli mempamerkan larian bertenaga untuk menyumbangkan emas berganda buat Terengganu.

Mereka mencatatkan masa 47.01s manakala pingat perak milik kuartet Sabah 47.51s diikuti Kedah meraih gangsa 48.74s.

872 dibaca
Berita Harian X