Rabu, 19 September 2018 | 3:06pm
ATLET Kelantan, Nurul Alyahaziqah Kamarazman memenangi acara 10,000 m jalan kaki wanita pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak, Ipoh. NSTP/MUHAIZAN YAHYA

Nurul bangkit padam episod hitam 

IPOH: Episod hitam apabila kemenangannya dalam acara jalan kaki 5,000 meter (m) dibatalkan hampir menyebabkan atlet Kelantan Nurul Alyahaziqah Kamarazaman menarik diri daripada meneruskan perjuangan dalam acara 10,000 m pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Perak. 

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu mengakui masih lagi dihantui fobia dengan apa yang terjadi namun kerana sokongan daripada jurulatih, keluarga serta rakan, dia bertekad meneruskan perjuangannya hari ini.

Atlet berusia 17 tahun dari Kuala Krai, Kelantan itu akhirnya membuktikan dia jaguh sebenar dalam acara jalan kaki wanita apabila meraih emas dengan catatan 54 minit 42.45 saat (s), jauh menewaskan atlet Wilayah Persekutuan Nurul Ashikin Hussin (55:02.92s) dan Koong Jia Lin dari Pahang (55:23.36s).

Bagaimanapun, kedudukan Nurul sepanjang perlumbaan itu berlangsung masih goyah apabila dia dilayangkan dua kad merah. 

"Alhamdulillah, saya sudah buktikan saya mampu bangkit daripada kegagalan dan berjaya menang kali ini. Tapi sepanjang perlumbaan berlangsung memang saya sedikit tertekan selepas menerima dua kad merah. Saya kena berhati-hati kerana tak mahu kejadian lalu berulang. 

"Pada pusingan terakhir, saya sudah mula memperlahankan rentak supaya tidak melakukan kesalahan dan gembira akhirnya berjaya," katanya yang meninggalkan lawan 200m di belakangnya.


ATLET Kelantan, Nurul Alyahaziqah Kamarazman memenangi acara 10,000 m jalan kaki wanita pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak, Ipoh. NSTP/Muhaizan Yahya

Memulakan karier kerana mengikut jejak langkah abangnya, Mohd Afiz Firdaus dalam acara itu, Nurul berkata, mungkin pendekatan teknik baru digunakan antara punca dia beri amaran kad merah. 

"Saya baru menggunakan teknik baru supaya lebih laju jadi sebulan lalu. Mungkin sebab belum serasi sepenuhnya menyebabkan saya dikatakan melanggar peraturan. 

"Apapun terima kasih kerana menyokong dan tidak putus-putus memberi kata perangsang dan semangat. Kemenangan hari ini begitu bermakna buat diri saya dan kemenangan ini saya hadiah buat jurulatihnya Mohd Ghani Seman yang akan bersara hujung tahun ini," katanya. 

1311 dibaca
Berita Harian X