Selasa, 11 September 2018 | 8:12pm
BADRUL Hisyam Abdul Manap - Foto RASUL AZLI SAMAD

Badrul akui sukar raih gelaran raja pecut

IPOH: Pelari pecut Melaka, Badrul Hisyam Abdul Manap akur dia tetap berdepan laluan sukar untuk bergelar jaguh pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Perak kali, walaupun tanpa kelibat raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

Tegasnya, kehadiran pelari yang semakin meningkat, Muhammad Zulfiqah Ismail, Aiedel Sa'don, Haikal Hanafi dan Muhammad Aqil Yasmin juga mampu menjanjikan persaingan hebat untuk merebut gelaran.

Namun, Badrul yang pernah menggegarkan arena olahraga negara mempunyai misi tersendiri pada penyertaannya kali ini, dengan sasaran memecahkan catatan terbaik peribadi 10.29 saat.

"Susah nak cakap berhubung peluang. Biarpun Khairul Hafiz tak ada, tetapi ramai lagi pelari yang mampu memberikan cabaran.

"Apa yang boleh saya katakan adalah saya cuba memberikan yang terbaik kerana saya tidak pernah patah semangat untuk terus mengharumkan nama negara," katanya. 

Biarpun diketepikan daripada kuartet 4x100 meter negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Badrul menganggap ia sebagai ujian dan bukan rezekinya. 

Namun, dia bersyukur muncul antara seorang pelari yang berjaya membawa kuartet negara ke peringkat akhir 4x100m, ketika Sukan Komanwel Gold Coast, Australia pada April lalu. 

Jika berdasarkan rekod pencapaian, Badrul dilihat antara yang berpotensi cerah untuk merangkul emas, sekali gus mengubati kekecewaannya di SUKMA Sarawak 2016 dengan catatan terbaik 10.29s. 

Namun prestasinya yang agak goyang ketika ini mungkin akan menyukarkan misinya menghadiahkan emas buat Melaka, kerana Zulfiqar yang merekodkan catatan terbaik peribadi 10.40s dan Haiqal (10.47s) antara yang disebut sebagai atlet pilihan.

Bahkan, Badrul, 21, juga sukar untuk menyingkapkan apa yang bermain di fikirannya ketika ini, biarpun ia bukanlah SUKMA kali pertama buat dirinya. 

Acara olahraga SUKMA kali ini akan bermula secara rasminya pada 17 September di Stadium Perak dengan menawarkan 45 pingat emas keseluruhan.

Dua tahun lalu, sebanyak sembilan rekod kejohanan berjaya pecahkan termasuklah rekod kebangsaan dalam acara 100m oleh Khairul Hafiz. 

1495 dibaca
Berita Harian X