Isnin, 3 September 2018 | 6:43pm
DR P Vella Pandian - Foto fail

Sukan Olimpik diberi perhatian

SEPANG: Institut Sukan Negara (ISN) akan memastikan sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 diberi lebih tumpuan meskipun berdepan kegagalan di Sukan Asia Indonesia.

 Ketua Program Podium, Dr P Vella Pandian berkata, kegagalan di Indonesia tidak seharusnya menyebabkan acara sukan berkenaan terus dihukum, sebaliknya peluang perlu diberikan bagi memastikan Program Podium mencapai sasarannya iaitu emas pertama di Sukan Olimpik.

 "Walaupun kita tak menyerlah dalam sukan diletak sasaran seperti badminton, tapi kami tidak mahu mereka berputus asa kerana badminton adalah sukan yang sentiasa memberi sumbangan di peringkat tertinggi seperti dibuktikan pada Sukan Olimpik Rio 2016.

 "Di pihak kami, mereka tidak akan dilepaskan begitu saja. Kami akan pastikan sukan ini mendapat lebih tumpuan dan perbincangan perlu dilakukan untuk perancangan seterusnya," katanya.

 Jelas beliau, acara sukan lain yang dipertandingkan di Olimpik akan turut diberi perhatian.

 "Terjun umpamanya berdepan masalah kecederaan atlet tetapi kita masih juga mampu meraih pingat di Sukan Asia.

 "Begitu juga sukan seperti memanah dan berbasikal ia akan diberi tumpuan. Manakala sukan seperti pelayaran sasaran lebih realisitik akan diberikan kepada mereka di Sukan Oimpik," katanya.

 Hanya dua acara sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik iaitu pelayaran dan berbasikal berjaya meraih emas di Sukan Asia.

 Manakala selebihnya lima emas bukanlah sukan yang dipertandingkan pada temasya sukan terbesar dunia itu.

324 dibaca
Berita Harian X