Selasa, 15 Mei 2018 | 3:37pm
PELARI pecut negara, Khairul Hafiz Jantan. - Foto Yazit Razali

Poad tak gusar prestasi 'The Speedy Jantan'

KUALA LUMPUR: Tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung prestasi pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang dilihat mula merudum berikutan prestasi hambar di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, minggu lalu.  

Itu tegas jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim yang yakin anak didiknya itu mampu untuk kembali menyinar dalam acara riben biru itu.  

Kata Poad, anak buahnya yang terkenal dengan julukan 'The Speedy Jantan' masih mempunyai masa tiga bulan memperbaiki prestasi sebelum ke Sukan Asia di Jakarta-Palembang bermula. 

"Tiada yang perlu dibimbangkan. Dia masih ada masa. Khairul maklumkan kepada saya, fokus dia terganggu kerana acara ditangguhkan terlalu lama dan mendakwa pelari Sri Lanka itu 'false start' kerana memulakan larian terlebih dahulu.

"Tapi pada pengamatan saya mungkin Khairul ada masalah dalaman yang perlu diperbaiki.  

"Semoga apa yang terjadi ini akan jadi pengajaran dan pemangkin kepada dirinya untuk lebih bersemangat selepas ini," katanya.  

Pada aksi Terbuka Malaysia, Khairul menamatkan saingan acara 100 meter (m) di kedudukan kelima selepas tewas kepada atlet dari Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva 10.27 saat (s). 

Pemenang rekod kebangsaan itu melepasi garisan penamat dengan catatan 10.64s - catatan terburuk yang pernah dilakarkan selepas bergelar Raja Pecut Asia Tenggara.

Dalam acara 200m pula, Khairul buat pertama kali tewas di tangan senegara, Jonathan Nyepa sekali gus pelari kelahiran Melaka itu sekadar menamatkan saingan dengan pingat gangsa.

Menurut Poad, beliau sangat mengharapkan barisan pelari di bawah bimbingannya akan diberi peluang menjalani latihan di luar negara dengan Jerman menjadi lokasi pilihan.

Dalam perkembangan lain, Poad amat berpuas hati dengan peningkatan pelari muda.

Antara yang menyerlah adalah Abdul Wafiy Roslan, Zulfiqar Ismail, Haiqal Hanafi apabila masing-masing berjaya mencatatkan masa peribadi terbaik dalam acara 200 dan 400m. 

634 dibaca
Berita Harian X