Isnin, 16 April 2018 | 10:50pm
PELARI pecut negara, Muhammad Haikal Hanafi akan beraksi buat kali pertama di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Stadium Ratina Tampere, Finland Julai depan. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Kekecewaan Haikal terubat

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih pingat emas di Terbuka Singapura minggu lalu sedikit sebanyak memadamkan kekecewaan di hati pelari pecut negara, Muhammad Haikal Hanafi selepas tidak terpilih beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast.

Haikal mengungguli perlumbaan 100 meter (m) dalam acara yang dikuasai sepenuhnya pelari pecut dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Pelari berusia 19 tahun itu mencatatkan masa 10.47 saat (s) yang juga catatan masa terbaik peribadi menewaskan Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Aiedel Saadon masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 10.57s dan 10.69s.

Lebih menarik, catatan itu turut melayakkannya beraksi buat kali pertama di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Stadium Ratina Tampere, Finland Julai depan.

"Alhamdulillah, kejayaan di Terbuka Singapura mengubati kekecewaan saya tidak terpilih ke Komanwel.  

"Apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya dan saya tidak akan berputus asa untuk mencuba. Sasaran saya selepas ini adalah cuba untuk melayakkan diri ke Sukan Asia pula dalam acara 4x100m," katanya yang pernah meraih emas dalam acara yang sama di Terbuka Malaysia Julai tahun lalu.  

Pelari kelahiran Negeri Sembilan itu antara pelari yang memegang rekod kebangsaan dalam acara 4x100m dengan catatan 39.27 saat yang dilakukan bersama-sama Nixson Kennedy, Johnathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu. 

Mengulas misinya di Kejohanan Remaja Dunia nanti, Haikal berharap akan dapat memperbaiki masa 10.47s dan jika boleh merekodkan 10.35s dalam misinya untuk mewakili negara ke Sukan Asia.

1061 dibaca
Berita Harian X