Sabtu, 14 April 2018 | 6:49pm
ATLET lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail sekadar melakukan lompatan sejauh 15.97m. - Foto Yazit Razali

Strategi Hakimi 'makan diri'

 

GOLD COAST: Sikap terlalu berhati-hati akhirnya 'memakan diri' atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail apabila mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan pada aksi final di Stadium Carrara hari ini.

   Hakimi sekadar melakukan lompatan sejauh 15.97m selepas melakukan percubaan pertama 15.77m dan percubaan keduanya dibatalkan.

 "Hari ini tidak menyebelahi saya, saya terlalu berhati-hati," kata Hakimi yang jelas kecewa dengan kegagalannya itu.

  "Pada lompatan pertama saya cuba melakukan sesuatu yang baru, lompatan kedua pula dibatalkan dan pada lompatan ketiga, saya terlalu berhati-hati kerana takut batal.

  "Namun peserta Jamaica (Clive Pullen) sudah memperbaiki lompatan iaitu 16.16m. Saya tak tahu perkara itu dan lompat berhati-hati dan semuanya berakhir bagi saya.

   "Saya kecewa kerana sepatutnya saya mampu melakukan lebih baik daripada ini. Ia masih boleh diperbaiki namun bukan rezeki saya hari ini."

  Ia disifatkan pencapaian terburuk daripada atlet Program Podium yang pernah memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu pada Sukan SEA - Myanmar 2013 dengan melakukan 16.44m, Singapura 2015 (16.76m) dan KL2017 (16.77m).

   Jelasnya lagi, ketika saringan dia hanya memikirkan untuk melakukan sehabis baik dan tidak dibatalkan, namun perkara diharapkannya tidak menjadi hari ini.

   "Memang salah saya, sepatutnya pada lompatan pertama saya sudah berikan sehabis mungkin," katanya yang akan berbincang dengan jurulatih berhubung perancangan masa depan termasuk kelayakan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos ini.

739 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »