Sabtu, 14 April 2018 | 6:26pm
ATLET kuartet 4x100m negara, Khairul Hafiz Jantan menamatkan saingan di tempat ketujuh biarpun berjaya memperbaiki catatan kelayakan 39.39s kepada 39.37s. - Foto Yazit Razali

Belum setanding jagoan dunia

 

GOLD COAST: Kuartet 4x100m negara bagaikan 'gugup' untuk menandingi kehebatan skuad pecut dari England, Afrika Selatan dan Jamaica apabila menamatkan saingan di tangga ketujuh pada perlumbaan akhir acara berkenaan di Stadium Carrara, hari ini.

   Kuartet dianggotai Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan itu bagaimanapun memperbaiki catatan kelayakan semalam 39.39s untuk berakhir dengan 39.37s, hari ini.

    "Rasa gementar itu memang ada tetapi kami tahu di mana tahap kami jika dibandingkan dengan mereka. Ia satu pengalaman yang berguna buat kami," kata Khairul Hafiz.

    "Kami ingin berterima kasih kepada jurulatih yang membawa kami hingga ke peringkat ini dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan kami."

   Catatan 39.37s itu ternyata masih jauh untuk menyamai rekod kebangsaan 39.27s namun memastikan mereka merekodkan catatan terbaik musim ini.

   Mereka turut melakar sejarah apabila menjadi kuartet pecut pertama negara layak ke pentas akhir Sukan Komanwel.

   "Alhamdulillah, kami dapat lakukan catatan terbaik musim ini buat kali kedua, walaupun kalah kami dapat beraksi di final," kata pelari yang digelar The Speedy Jantan.

  "Kami harap dapat perbaiki apa yang silap dalam perlumbaan ini. Semalam, hasil analisis mendapati berlaku kesilapan ketika pertukaran baton tetapi hari ini, kami tidak tahu.

  "Mungkin selepas mendapatkan analisis perlumbaan kali ini, kami akan cuba memperbaikinya pada masa akan datang."

1378 dibaca
Berita Harian X