Khamis, 12 April 2018 | 5:30pm
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim persoal tindakan Alex Stewart yang meraikan kejayaan atlet Australia. - Foto Owee Ah Chun

KOM tak berkenan Stewart, prestasi Nauraj

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mendakwa badan induk itu 'tidak berkenan' dari awal lagi dengan pemilihan Alex Stewart yang mencetuskan kontroversi apabila meraikan kemenangan atlet negara lain pada Sukan Komanwel di Gold Coast, semalam.

Pada final acara lompat tinggi di Stadium Carrara semalam, Stewart yang memakai baju rasmi kontinjen Malaysia dilihat memeluk atlet Australia, Brandon Starc yang memenangi pingat emas serta menyerahkan bendera Australia kepada atlet terbabit sedangkan atlet bimbingannya, Nauraj Singh Randhawa turut bertanding dalam acara sama.

"Dia (Stewart) memakai baju Malaysia tetapi memberi nasihat dan meraikan kejayaan atlet Australia. Bukankah ia kelihatan seperti 'konflik kepentingan' atau atlet kita ini hanya dijadikan teman 'sparring' buat atlet Australia.

"Bagi saya dia mengambil kesempatan mengambil dua gaji dari Malaysia dan dalam masa sama melatih atlet Australia. Dari awal lagi saya tidak bersetuju apabila Stewart diambil untuk melatih atlet kita tetapi bukan sepenuh masa di sini (Malaysia)," kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim kepada NSTP di sini hari ini.

Karim berkata di peringkat awalnya lagi, Program Podium tidak memanggil badan induk itu untuk meminta nasihat tentang pemilihan jurulatih dan menyerahkannya kepada Nauraj yang membuat keputusan.

"Saya ingat lagi pada ketika itu, pegawai Program Podium memberitahu kami siapa jurulatih yang dipilih dan mengatakan ia adalah pilihan Nauraj sendiri. Saya tidak mahu nanti KOM dituduh pihak yang bertanggungjawab memilih jurulatih itu," katanya.

Beliau berkata, ketika proses pasca nilai yang akan dilakukan selepas berakhirnya temasya itu nanti, badan induk itu akan meminta supaya Program Podium untuk mencari jurulatih sepenuh masa berlatih di sini tanpa mengira siapa juga pilihan mereka.

Karim turut meluahkan kekecewaan persembahan yang dilakukan Nauraj apabila sekadar mencatatkan lompatan 2.18 meter (m) berbanding rekod peribadi terbaiknya 2.30m dengan rakan senegara yang bukan daripada Program Podium, Lee Hup Wei yang merekodkan catatan lebih baik, 2.21m.

"Catatan lompatan yang dilakukannya (Nauraj) seperti budak sekolah. Saya memang cakap kepada semua atlet bahawa menang kalah itu perkara biasa.

"Tetapi kalau kalah pun mestilah kalah bermaruah, tunjukkan saingan terbaik yang boleh diberikan dengan catatkan rekod peribadi terbaik. Ini dia kalah yang memalukan," katanya.

986 dibaca
Berita Harian X