Selasa, 27 Februari 2018 | 12:25am
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) bersama Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim (kanan) pada mesyuarat jawatankuasa kerja MSN-KOM di MSN Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

KOM hasrat ambil jurulatih Eropah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang menimbang untuk membawa masuk jurulatih Eropah bagi menguatkan lagi acara pecut, lari berhalangan dan lari jarak jauh.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Jawatankuasa Kerja yang bermesyuarat hari ini secara dasarnya bersetuju dengan cadangan badan induk itu untuk membawa masuk jurulatih Eropah.

Beliau berkata, KOM juga mencadangkan nama jurulatih dari Belanda, Geert Andries Lenting namun masih belum diputuskan kerana MSN mahu meminta badan induk itu menyenaraikan beberapa cadangan sebelum membuat keputusan.

Lenting adalah jurulatih olahraga dengan pengkhususan acara lompatan serta keseluruhan dan beliau juga pernah dilantik sebagai jurulatih senior Pasukan Olahraga Aspire di Qatar dan Pasukan Olahraga Powerade di Rio de Janeiro.

Ketika ditanya status jurulatih tempatan seperti jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim selepas cadangan itu direalisasikan nanti, Karim berkata: "Kita tak akan ketepikan beliau (Poad), kita tak akan ketepikan jurulatih yang sudah menunjukkan prestasi yang baik di Sukan SEA 2017.

"Kita bukan nak ketepikan sesiapa, kita hanya mahu nasihat pakar untuk merangka program olahraga," katanya.

Pada masa sama, Karim berkata, Poad sendiri pernah meminta untuk mendapatkan kerjasama jurulatih lain bagi membaiki prestasi atlet ke tahap yang lebih tinggi.

Sebelum ini, KOM mengambil keputusan tidak menyambung kontrak empat jurulatih yang diketuai jurulatih Kenya, Samuel Kipsang Rono.

"Ternyata sistem kejurulatihan di Kenya dan Malaysia jauh berbeza. Di Kenya mereka menekankan jarak jauh namun ia tidak boleh diterapkan di sini," katanya.

320 dibaca
Berita Harian X