Sabtu, 13 Januari 2018 | 8:03pm
ATLET 100 meter, Badrul Hisyam Abd Manap (dua dari kanan) bersama rakan sepelatih (dari kanan), Muhammad Haiqal Hanafi, Asnawi Hashim, Khairul Hafiz Jantan dan jurulatih, Mohd Poad Md Kassim (kiri) ketika sesi latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar Kota Tinggi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Poad perlu cukup rehat

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut Poad Kassim disarankan supaya berehat secukupnya sebelum kembali bekerja sebaik pulang dari hospital.

Ketika ini Poad sedang berada di rumahnya di Bandar Penawar selepas dua minggu dirawat di hospital akibat jangkitan paru-paru.

Memandangkan ketika ini atlet bimbingannya termasuk Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Manap kembali berlatih seperti biasa di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Sports School (SSTMI), Poad tidak perlu tergesa-gesa untuk kembali bertugas.

"Poad dibenarkan keluar dari hospital dan sedang berehat di rumah," kata pengetua SSTMI Suhaimi Sun Abdullah.

"Beliau tidak perlu kembali sehingga benar-benar sembuh memandangkan atletnya mengikuti program yang diaturkannya untuk mereka sebelum jatuh sakit.

"Atlet masih berlatih seperti biasa dan bersiap sedia untuk berlatih dalam kejohanan pra-Sukan Asia di Indonesia bulan depan."

Suhaimi berkata mereka yang terbabit dalam olahraga lega apabila Poad kembali sembuh biarpun sebelum ini pernah diletakkan dalam keadaan koma.

"Atlet takut dan bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku apabila Poad jatuh sakit tetapi syukur dia semakin pulih," kata Suhaimi.

Sepanjang ketiadaan Poad, pembantunya Mas Murni Abdullah mengambil alih tugas melatih Khairul, Badrul dan pelari pecut lain yang berpangkalan di Bandar Penawar.

Ketua jurulatih kebangsaan Zainal Abas menghargai keupayaan Poad melahirkan ramai atlet berkualiti seperti Khairul yang memecah rekod kebangsaan acara 100m dan 200m sejak dua tahun lalu serta pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu dalam acara 100m.

"Poad membuktikan kemampuannya sebagai jurulatih pecut dengan program pembangunan Khairul dan Badrul serta mencapai kejayaan pada tahap tertinggi," kata Zainal.

Poad dijangka pulih tepat pada masanya untuk mengiringi Khairul ke Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April.

784 dibaca
Berita Harian X