Khamis, 11 Januari 2018 | 9:21pm
SAMUEL Kipsang Rono tetap berpuas hati dengan pencapaiannya membimbing skuad olahraga negara.

Rono tidak kecewa tinggalkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Walaupun kontraknya tidak disambung, jurulatih Kenya, Samuel Kipsang Rono tidak melenting, sebaliknya tetap berpuas hati dengan pencapaiannya ketika membimbing skuad olahraga negara.

Rono yang pernah membantu atlet Kenya, Noah Ngeny meraih emas dalam acara 1,500 meter (m) pada Sukan Olimpik 2000 dan Benjamin Limo (5,000m) Kejohanan Dunia 2005, memulakan tugas bersama skuad negara pada Mac 2016 sebelum kontraknya berakhir 31 Disember lalu.

"Saya gembira kerana sudah melakukan kerja dengan baik dan membantu atlet memenangi beberapa pingat di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017)," kata Rono ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Mengulas lanjut, Rono menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada mahu mendapatkan khidmatnya kembali.

"Terpulang kepada mereka, saya sedia untuk kembali," kata Rono.

Selain Rono, khidmat pengendali berpengalaman, Hamberi Mahat juga tidak disambung dan berakhir 31 Disember lalu.

3362 dibaca
Berita Harian X