Jumaat, 5 Januari 2018 | 6:14pm
Jurulatih Mohd Poad Md Kassim (kiri) yang koma akibat dijangkiti kuman pada paru-paru kini dilaporkan sudah stabil. - Foto fail

Anak didik Poad kembali semangat

KUALA LUMPUR: Moral dan semangat atlet Mohd Poad Md Kassim semakin pulih selepas keadaan jurulatih itu yang koma akibat dijangkiti kuman pada paru-paru sudah stabil.

Perkembangan positif itu dimaklumkan pembantu Poad, Mas Murni Abdullah.

Menurutnya, meskipun Mohd Poad masih dirawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, anak didiknya tetap menjalani latihan seperti biasa.

"Saya mula mengambil alih tugas Mohd Poad sejak beliau memasuki hospital bulan lalu. Pada peringkat awal anak didiknya memang dilihat tidak begitu bersemangat kerana bimbang dengan keadaan jurulatih mereka.

"Namun, saya lihat moral mereka kembali pulih sejak kebelakangan ini. Ini bermakna mereka sedar mengenai tugas masing-masing. Malah saya akan jaga mereka sehingga Poad dibenarkan keluar dari hospital.

"Alhamdulillah, keadaan Poad pun semakin OK," kata Mas ketika dihubungi, hari ini.

Mas, jurulatih sepenuh masa dan menjadi pembantu kepada Mohd Poad sejak 2004 memberitahu beliau akan berhubung dengan jurulatih itu bagi memaklumkan perkembangan terkini anak didiknya.

Minggu lalu, seluruh negara gempar apabila Mohd Poad yang bertanggungjawab melahirkan generasi baharu pelari pecut seperti Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap dilaporkan koma akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Sebagai rekod, Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Open University Malaysia (OUM).

Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau 14 tahun emas negara bagi acara riben biru dengan catatan masa 10.38 saat, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Cray.

547 dibaca
Berita Harian X