Sabtu, 30 September 2017 | 4:49pm
KARIM (kiri) sewaktu mempengerusikan Perhimpunan Agung KOM Ke-14 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) hari ini. - Foto BERNAMA

KOM hasrat bida GP Asia 2018 di KL

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menghantar bidaan kepada Persatuan Olahraga Asia (AAA) untuk menganjurkan satu daripada sirkit Grand Prix (GP) Asia di sini, pada tahun depan.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata beliau akan mengusulkan cadangan berkenaan ketika menghadiri mesyuarat majlis AAA di Jordan dalam tempoh terdekat.

"Kita akan cuba dapatkan sokongan kerajaan untuk menganjurkan beberapa pertandingan peringkat Asia seperti GP Asia dan Kejohanan Olahraga Asia pada tahun depan.

"Hal ini kerana kita sudah ada beberapa atlet berkaliber seperti raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dan atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa yang beraksi pada Kejohanan Dunia di London, baru-baru ini.

"Saya yakin kita akan meraih pingat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan KOM ke-14 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Karim mendakwa atlet kebangsaan yang berpusat di negeri-negeri tidak dapat menjalani latihan tetap di venue tertentu kerana terpaksa memberi laluan kepada aktiviti lain.

Tanpa menyebut mana-mana negeri, Karim menegaskan perkara berkenaan pada masa sama, turut menyukarkan anggota gabungan KOM untuk mengadakan kejohanan di peringkat negeri terutamanya dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam olahraga.

"Banyak stadium digunakan untuk aktiviti lain dan apabila mereka (anggota gabungan KOM) merancang untuk adakan pertandingan, mereka terpaksa batalkan program berkenaan secara tiba-tiba bagi memberi laluan kepada program yang dianjurkan pihak lain.

"Sehubungan itu, kita minta jasa baik kerajaan negeri untuk memberi kelonggaran kepada anggota gabungan kita untuk menggunakan fasiliti di venue-venue tertentu tanpa sebarang gangguan," katanya.

Sementara itu, Karim memaklumkan badan induk itu akan menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan dalam tempoh terdekat bagi merealisasikan hasrat mereka untuk mempunyai stadium olahraga sendiri.

Katanya, berkata kewujudan stadium olahraga itu akan memudahkan KOM untuk menjalankan aktiviti atau menganjurkan kejohanan antarabangsa tanpa perlu menyewa mana-mana stadium pada masa akan datang.

-- BERNAMA

269 dibaca
Berita Harian X