Selasa, 26 September 2017 | 6:59pm
RAJA Nursheena ketika beraksi dalam acara 110m lari berpagar wanita akhir sempena SUukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Yazit Razali

Raja Nursheena congak perancangan 2018

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah tiada lagi kejohanan besar tahun ini selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menutup tirai Ogos lalu, Raja Nursheena Raja Azhar sudah mula memikirkan perancangannya musim depan.

Pemenang pingat perak acara 100 meter (m) lari berpagar wanita Sukan SEA lalu dengan catatan 13.92s itu ingin memastikan dirinya layak menyertai dua lagi temasya besar tahun depan - Sukan Komanwel Gold Coast, Australia dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Jelasnya, masa yang ada tidak boleh dipersia-siakan memandangkan banyak lagi kejohanan berprestij bakal menanti selepas ini, selain prestasi atlet dari setiap negara tidak boleh dijangka.

Apa yang pasti, atlet berusia 26 tahun itu mahu memperbaiki catatan masa terbaiknya, selain memastikan mampu melangkah ke final Sukan Komanwel selepas hanya mampu mara ke separuh akhir pada temasya sama di Glasgow 2014.

"Insya-Allah kalau diberi sekali lagi peluang untuk ke Sukan Komanwel, saya akan cuba buat yang terbaik, kalau boleh nak baiki catatan masa terbaik saya iaitu 13.82s yang dicipta di Terbuka Perak pada 2015.

"Kalau diikutkan, saya tidak berpuas hati dengan catatan masa di Sukan Komanwel pada 2014 (14.30s), tetapi ia pengalaman yang cukup berharga buat saya, dan saya akan menggunakan pengalaman itu untuk menjadikan diri lebih baik," kata Raja Nursheena.

Selain itu, dia turut berazam tampil di pentas Sukan Asia, sekali gus dapat bersaing dengan pesaing lebih hebat, walaupun sedar usaha keras perlu dilakukan kerana semua acara yang disertai memerlukan dia melepasi had masa kelayakan.

Untuk rekod, Olga Shishigina dari Kazakhstan memiliki kepantasan 12.63s untuk menjadi pemegang rekod Asia dalam acara ini manakala Brigitte Foster-Hylton dari Jamaica pula memegang rekod Komanwel dengan catatan 12.65 (+1.0 m/s), dicipta di Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Moh Siew Wei pula masih menjadi memegang rekod acara ini di peringkat kebangsaan (13.27s) yang dicipta di Kassel, Jerman pada 2014, manakala kepantasan 12.85s dicipta Trecia Roberts pada Sukan SEA 1999 Brunei membolehkan dia terus memegang rekod itu di peringkat Asia Tenggara.

281 dibaca
Berita Harian X