Ahad, 24 September 2017 | 10:15pm
PENGURUS pasukan olahraga Para ASEAN Malaysia, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah cari bakat baharu atlet para.

Sukan Para: Pencarian bakat baharu perlu diteruskan

KUALA LUMPUR: Pencarian bakat baharu membabitkan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam bidang sukan perlu diteruskan agar Malaysia tidak ketandusan atlet bagi mewakili negara pada temasya sukan akan datang.

Pengurus pasukan olahraga Para ASEAN Malaysia, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata pencarian perlu dilakukan segera bagi persiapan negara ke temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia 2018 dan Sukan Para ASEAN Filipina pada 2019.

"Saya yakin banyak lagi bakat yang boleh dicungkil dan kita kena kenal pasti siapa mereka. Saya menaruh harapan tinggi agar jurulatih di peringkat negeri dapat terus mencungkil bakat sedia ada.

"Langkah drastik boleh dilakukan seperti membabitkan pihak kementerian kerana kita sudah mempunyai kemudahan, jadi peluang itu perlu digunakan sebaiknya oleh barisan atlet," kata Zarrawi ketika mengulas mengenai pencapaian olahraga di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).

Zarrawi berkata Malaysia perlu mengambil contoh dari Indonesia kerana negara itu mempunyai ramai atlet baharu, iaitu bukan muka sama seperti bertanding di Singapura pada 2015 sekali gus memberikan kelebihan menyertai hampir semua acara di Para KL2017.

Peningkatan Indonesia juga sedikit sebanyak menjejaskan perancangan kutipan pingat Malaysia secara keseluruhan kerana sasaran edisi ini berlandaskan kepada penampilan atlet yang mengambil bahagian di Singapura dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) itu berkata meskipun skuad olahraga negara dilihat gagal mencapai sasaran 40 pingat emas, kutipan 36 pingat emas, 27 perak dan 30 gangsa itu sebenarnya sudah melebihi pencapaian di Singapura pada 2015 (27 emas, 18 perak, 8 gangsa).

Jelasnya, pencapaian di Kuala Lumpur boleh dilabelkan cemerlang kerana kemunculan 24 atlet dari negeri banyak membantu menampung prestasi tidak memberangsangkan dipamerkan beberapa atlet yang berada di dalam Program Podium.

Justeru, beliau berharap empat daripada 24 atlet baharu, iaitu yang pertama kali memenangi pingat dapat dipertimbangkan untuk berada di Majlis Sukan Negara (MSN) agar boleh mengikuti program latihan yang lebih tersusun.

Atlet terbabit ialah S Thavanesvaran yang memenangi tiga pingat emas T44 (kecacatan anggota badan) dalam acara 100m, 200m, 400m; Eddy Bernard dalam acara 100m dan lompat jauh T37 (Cerebral Palsy); Muhamad Zulhaizat Zainal Abidin membabitkan acara 400m T13 (masalah penglihatan) serta Jonathan Wong Kar Gee T12 dalam acara lompat jauh (masalah penglihatan).

"Kita ada 24 bakat baharu dan empat daripada mereka pertama kali memenangi pingat. Oleh itu saya harap mereka dapat berada di bawah kendalian MSN untuk latihan lebih sistematik agar mampu bersaing di peringkat Asia tahun depan," katanya.

Skuad olahraga para menghantar 72 atlet mengambil bahagian di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017). Daripada jumlah itu, seramai 24 orang adalah muka baharu, 11 atlet dari Program Podium dan 13 daripada Program Kita Juara bagi menyertai 96 daripada 133 acara ditawarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kali ini.

125 dibaca
Berita Harian X