Selasa, 5 September 2017 | 5:32pm
KHAIRUL Hafiz (tengah) pada sidang media bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim (kiri) dan Jurulatih Olahraga, Poad Kassim pada majlis penyerahan insentif kepada Khairul Hafiz dan mesin "powerplate" serta sumbangan jam tangan Suunto kepada Ziyad susulan kejayaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pejabat UFL Taman KIP. - Foto Osman Adnan

'Saya tidak sanggup berpisah'

KEPONG: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menegaskan dia tidak sanggup berpisah dengan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim.

Baginya, jurulatih itu ialah individu penting yang membentuknya sejak awal sehingga mampu menjadi seorang jaguh pada peringkat Asia Tenggara.

Bagaimanapun, atlet berusia 19 tahun itu masih boleh bertolak ansur jika ada jurulatih luar yang menjalinkan kerjasama dengan Mohd Poad.

"Saya tidak sanggup berpisah dengan jurulatih (Mohd Poad) kerana dia yang membentuk saya dari bukan sesiapa, kosong sehingga berjaya sekarang ini.

"Saya dengannya sejak berusia 15 tahun. Ketika itu, saya hanya mampu berlari acara 100 meter dengan catatan masa 12 saat (s).

"Tapi jika adanya kerjasama jurulatih saya (Mohd Poad) dengan jurulatih luar, saya OK sebab hanya jurulatih saya yang sekarang tahu apa yang saya perlukan," kata Khairul Hafiz di sini Wisma Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), hari ini.

Mengulas lanjut, pemegang tiga rekod kebangsaan itu berkata, selepas ini dia akan menyambung pengajian di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor dan mengikut jadual ditetapkan jurulatihnya.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad berpendapat Khairul Hafiz mampu menakluk pentas Asia sekiranya mendapat sokongan penuh daripada semua pihak termasuk kepakaran jurulatih dari luar negara.

Bagaimanapun, khidmat jurulatihnya tidak akan diketepikan kerana gabungan antara jurulatih itu dengan tenaga pakar luar negara dijangka mampu menjadikan atlet berkenaan sebagai jaguh di pentas Asia.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menjelaskan idea menggabungkan tenaga kerja itu perkara yang baik tetapi dia perlu mengadakan perbincangan dengan Mohd Poad.

KOM juga merancang melakukan program khas untuk Khairul Hafiz menjelang Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indoesia pada 2018.

Jelasnya, dia tidak mahu mengetepikan Mohd Poad yang berusaha selama enam hingga tujuh tahun untuk melahirkan seorang raja pecut Asia Tenggara selepas kali terakhir acara 100m dimenangi Nazmizan Muhammad di Sukan SEA Vietnam 2003 di Hanoi, Vietnam.

Kejayaan Khairul Hafiz di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mendapat pengiktirafan UFL apabila syarikat ini memberikan ganjaran RM2,000 serta alat senaman Personal Power Plate bernilai RM13,000.

Selain itu, turut menerima insentif dari UFL ialah jaguh paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang menerima jam tangan jenama Suunto.

31376 dibaca
Berita Harian X