Selasa, 5 September 2017 | 5:28pm
MOHAMAD Ridzuan Mohamad Puzi

Para KL2017: Harap 3 emas dari Dik Wan

KUALA LUMPUR: Pemenang emas Sukan Paralimpik Rio, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi diletakkan harapan untuk menyumbangkan tiga emas kepada kontinjen negara pada saingan olahraga Sukan Para ASEAN (Para KL2017) pertengahan bulan ini.

Ketua jurulatih negara, R Jaganathan menjelaskan atlet yang dikenali sebagai 'Dik Wan' itu antara dua atlet olahraga yang menyertai tiga acara, selain seorang lagi atlet paralimpik, Mohd Nordin Ibrahim dalam kategori T20 (intellectual disability) bagi acara 800m, 1,500m dan 5,000m.


PENGURUS Pasukan Olahhraga Para Asean Mohd Zarrawi Ravi Abdullah (tengah) memberi penerangan ketika sidang media Kita Juara 2017 Sukan Para Asean bagi acara olahraga di Seri Pacific Hotel hari ini. Turut bersama Jurulatih Kebangsaan Olahraga Jaganathan Ramasamy (kanan) dan Abdul Latif Romly (kiri). - Foto BERNAMA

Ridzuan disenaraikan beraksi dalam kategori T36 (celebral palsy) untuk acara 100m, 200m dan 400m.

"Kita menyenaraikan dia untuk beraksi dalam tiga acara dan mengharapkan dia mampu menjuarai semuanya, namun ia turut bergantung kepada keadaannya.

"Dia tidak akan mempunyai rehat apabila acara berlangsung secara berturut-turut bermula 22 hingga 24 September. Dua emas menerusi 100m dan 200m saya yakin mampu dilaksanakannya, namun bagi acara 400m, saya perlu melihat keadaannya pada hari pertandingan," kata Jaganathan.

Menurutnya, Ridzuan pernah menyertai acara 400m ketika edisi 2015 di Singapura tetapi sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat walaupun menguasai emas acara 100m dan 200m.

"Kita tidak memikirkan catatan masa dan jarak bagi atlet senior, hanya menang emas sudah mencukupi. Saingan di Sukan SEA adalah sebahagian usaha menghadapi Sukan Para Asia," jelasnya.

Olahraga diletakkan sasaran untuk meraih 40 emas dengan kontinjen negara menghantar 72 atlet bagi menggalas cabaran.

633 dibaca
Berita Harian X