Ahad, 3 September 2017 | 6:02pm
ATLET bagi acara 10,000m pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Pecah rekod 32 tahun

KUALA KUBU BHARU: Pemegang rekod kebangsaan acara 800 meter, B Rajkumar, yakin rekod 32 tahun yang diciptanya, dapat dipecahkan jika ada projek khas jangka panjang yang menuntut kerja keras atlet.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ada potensi untuk perkara itu dicapai, namun memerlukan bimbingan yang betul.

"Anda akan dapat lihat hasilnya jika projek itu dijalankan secara jangka panjang seperti enam ke 10 tahun... bukan setakat setahun dua dan berhenti... bukan itu caranya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kegagalan atlet olahraga negara memecahkan rekod itu, termasuk pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), baru-baru ini.

Rajkumar yang melakar rekod kebangsaan dengan catatan 1:47.37 saat ketika menjuarai acara 800m pada Kejohanan Trek dan Balapan Asia 1985 di Indonesia, percaya atlet pelapis mampu meleburkan rekodnya seperti Khairul Hafiz Jantan mengatasi rekod 200 meter yang dipegang Tan Sri Dr M Jegathesan selama 42 tahun.

Bekas jaguh acara larian jarak sederhana kelahiran Kuala Kubu Bharu berusia 52 tahun itu turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi atlet muda olahraga yang mempamerkan aksi cemerlang terutama pada KL2017, namun katanya mereka perlu terus diberi pendedahan di pentas antarabangsa.

Rajkumar yang menjadi juara Asia pada usia 22 tahun dan layak ke final acara 800m Piala Dunia di Canberra, Australia pada 1985, dibesarkan di Kuala Kubu Bharu dan dibimbing jurulatih, yang juga guru sekolahnya ketika itu, A Tripadi.

Terdahulu, Rajkumar menghadiri acara lari berganti-ganti 21 kilometer edisi kedua, di sini yang menarik lebih 300 peserta bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM12,000.

Mengulas acara itu, beliau berkata, program berkenaan adalah ideanya untuk mencungkil bakat baharu. - BERNAMA

7103 dibaca
Berita Harian X