Sabtu, 2 September 2017 | 3:43pm
ATLET Malaysia, Norliyana Kamarudin ketika beraksi dalam acara heptathlon displin, lari 800m pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

KL2017 beri kenangan manis buat Norliyana

KUALA LUMPUR: Biarpun gagal menghadiahkan sebarang pingat buat negara dalam sukan heptathlon temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Norliyana Kamaruddin tetap mengukir sejarah tersendiri.

Ini kerana atlet berusia 26 tahun itu berjaya memecahkan rekod berusia 36 tahun milik Datuk Zaiton Othman sekali gus memberi pengalaman dan kenangan terindah buat dirinya.

Dia yang ditemui selepas pertandingan, mengakui tidak menyangka sama sekali mampu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara itu selepas menamatkan saingan pada kedudukan keempat dengan himpunan 5247 mata.

Rekod lama milik Zaiton adalah 5,175 mata yang dicipta di temasya Sukan SEA Manila pada 1981.

Tanpa diletakkan sebarang harapan, Norliyana tampil memberikan persembahan terbaik pada temasya KL2017 dan paling menyerlah dalam acara lompat tinggi apabila muncul juara dalam acara itu.

Justeru buat atlet berusia 26 tahun itu, dia tidak akan mengalah dan terus berusaha kembali memartabatkan sukan heptathlon di negara ini.

"Saya bermula dengan lompat tinggi. Kemudian jurulatih meminta saya menukar acara ke heptatlon dan saya mula serius dalam sukan ini empat tahun lalu.

"Saya tidak pernah menyesal atau berputus asa dalam sukan ini dan berharap mampu mengorak langkah lebih jauh lagi mungkin hingga ke Komanwel atau ke Sukan Asia," katanya.


NUR LIYANA (kiri) menamatkan perlumbaan dalam acara heptathlon displin, lari 800m pada Sukan SEA KL2017. - Foto Osman Adnan

Acara heptathlon menyaksikan atlet Thailand, Sunisa Khotseemueans meraih emas selepas mengumpul 5430 mata, diikuti Emilia Nova dari Indonesia (5386 mata) manakala gangsa oleh penyandang juara, Wassana Winatho dari Thailand

(5288 mata).

Ditanya apakah kelemahan yang perlu diperbaiki Norliyana berkata antaranya adalah dalam acara lari yang membabitkan kelajuan.

Kali terakhir negara meraih emas dalam sukan itu adalah pada Sukan SEA Manila, Filipina pada 1981 menerusi Zaiton yang turut berjaya mencipta rekod kebangsaan ketika itu.

1141 dibaca
Berita Harian X