Jumaat, 1 September 2017 | 8:01pm
BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Mazlan Ahmad yakin kemampuan Khairul Hafiz untuk takluk pentas Asia sekiranya mendapat sokongan penuh daripada semua pihak. - Foto Syarafiq Abd Samad

Khairul perlu sokongan termasuk pakar luar negara: Mazlan

KUALA LUMPUR: Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mampu menakluk pentas Asia sekiranya mendapat sokongan penuh daripada semua pihak termasuk kepakaran jurulatih dari luar negara.

Tanpa mengetepikan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad berkata, kombinasi antara jurulatih itu dengan tenaga pakar dari luar negara dijangka mampu menjadikan atlet berkenaan jaguh di pentas Asia.

"Pokok pangkalnya adalah perancangan. Jika kita merancang pasti akan dapat hasilnya. Khairul Hafiz ini dimajukan oleh sekolah, dari Melaka ke SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) dan dilatih oleh guru (Poad).

"Kredibiliti Poad sebagai jurulatih memang sudah terbukti dengan pencapaian yang diraih Khairul Hafiz. Malah dia juga melatih beberapa lagi atlet lain.

"Poad perlu terus kekal melatih Khairul Hafiz namun jika ada kepakaran tertentu yang diperlukan bagi meningkatkan prestasi atlet berkenaan dan memerlukan kita mengambil jurulatih luar negara, saya sokong.

"Kita perlu akui tidak semua jurulatih tempatan ada pengetahuan. Jika Poad dapat dibantu dengan kepakaran yang lebih baik, saya percaya ia akan menjadi kombinasi terbaik dan Khairul Hafiz boleh pergi lebih jauh terutama di peringkat Asia," kata Mazlan kepada BH Online hari ini.

Selepas kejayaan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 dan 200 meter, nama Khairul Hafiz terus menjadi bualan peminat sukan tempatan.

Atlet berusia 18 tahun itu baru-baru ini berjaya memenangi pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sekali gus menamatkan kemarau selama 14 tahun selepas kali terakhir dilakukan Nazmizan Muhammad pada 2003 di Vietnam.

Mengulas lanjut, Mazlan turut menyarankan MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mempertimbangkan bagi menghantar Khairul Hafiz dan rakan seangkatannya untuk menjalani latihan dan berpangkalan di luar negara seperti dilakukan ke atas sukan seperti basikal trek, terjun dan skuasy.

"Sepatutnya ia berlaku kalau MSN mengikut format yang sudah dilaksanakan. Mereka tahu macaman mana kita mencipta kejayaan dalam basikal trek dan terjun. Acuan sudah ada dan saya rasa sudah tiba masa untuk dilaksanakan untuk olahraga negara.

"Memang terbukti jika kita hantar atlet berpangkalan di luar negara, ia dapat membantu meningkatkan prestasi mereka. Namun, pokok pangkal berbalik kepada komitmen dan kesungguhan atlet itu sendiri," katanya.

1223 dibaca
Berita Harian X