Khamis, 11 Oktober 2018 | 2:44pm
SEBASTIAN Vettel. - Foto AFP

Vettel minta Ferrari tunjukkan kehebatan sebenar

LONDON: Sebastian Vettel berkata Ferrari mesti membuktikan diri mereka yang sebenar dalam baki perlumbaan musim 2018 Formula Satu (F1) selepas beberapa siri keputusan mengecewakan.

Perlumbaan mengecewakan di Jepun menamatkan harapan kejuaraan buat Ferrari dan Vettel walaupun memiliki kelebihan berbanding pencabar utama Mercedes pada sebahagian besar kempen.

Namun disebabkan beberapa kali kesilapan pemandu dan pasukan, Lewis Hamilton mengambil kesempatan dan mencatatkan rekod enam kemenangan daripada tujuh perlumbaan terakhir, bermakna dia boleh meraih gelaran dunia kelima pada perlumbaan seterusnya di Amerika Syarikat dalam masa kurang dua minggu.

Kesilapan pemilihan tayar daripada Ferrari dalam pusingan kelayakan menyebabkan Vettel bermula di petak kelapan saingan Ahad lalu di Suzuka sebelum terbabit dalam kemalangan dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen dan berkedudukan keenam.

"Saya rasa, pasukan ini ada potensi yang hebat," kata Vettel.

"Jelas minggu lalu memang sukar buat kami. Secara keseluruhan saya rasa kami boleh berada di tempat yang lebih baik. Tapi kami tidak. Jadi ia berlaku kerana sebab tertentu.

"Kami memandang ke depan, walaupun minggu lalu memang sukar, ada semangat dalam diri pasukan, jika anda lihat pasukan, memang menakjubkan bahawa mereka memang kuat, betapa positif mereka sepanjang musim ini.

"Ia menjadikan pasukan ini sentiasa kuat dan akan menjadikannya kuat pada perlumbaan seterusnya dan pada masa depan. Kami sedar kami masih ada banyak potensi untuk ditunjukkan dan kami perlu bekerja keras dan mencarinya.” - Agensi

162 dibaca
Berita Harian X