Rabu, 10 Oktober 2018 | 8:40pm
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Osman Adnan

Pasukan MotoGP Malaysia tak guna duit kerajaan

KUALA LUMPUR: Pembabitan Malaysia dalam ketiga-tiga kategori perlumbaan MotoGP, Moto2 dan Moto3 dalam Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan tidak menggunakan dana kerajaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

SIC yang bertanggungjawab menguruskan ketiga-tiga pasukan berkenaan mengesahkan kesemuanya sudah pun mempunyai dana bagi perbelanjaan sepanjang musim depan.

“Kami sudah pun membentangkan program kami (kepada Kementerian Belia dan Sukan) bagi kedua-dua sukan permotoran untuk dua dan empat roda,” kata Razlan.

“Begitupun ini tidak termasuk program kami untuk MotoGP, Moto2 dan Moto3 kerana mereka semua sudah mempunyai perancangan sendiri (termasuk dana) bagi musim depan.

“Ini adalah disebabkan oleh PETRONAS, yang menjadi penaja utama untuk pasukan, serta pelbagai penajaan luar negara yang turut tertarik, terutama selepas kami mengesahkan slot MotoGP.

“Justeru, kami tidak bergantung kepada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan atau juga SIC untuk membiayai mereka.

“Apa yang kami beri tumpuan untuk program dua roda (yang menggunakan dana kerajaan) ialah pembangunan bakat muda bagi musim depan.

“Kami sedang menilai untuk meletakkan pelumba muda dalam siri perlumbaan seperti Piala Bakat Asia, Piala Bakat Thai, Piala Bakat Eropah dan Kejuaraan CEV Eropah dengan sasaran sebagai persiapan (yang terbaik) kepada mereka untuk dinaikkan pangkat ke pasukan Moto3 dan Moto2.”

Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing, yang akan membuat penampilan sulung di pentas MotoGP tahun depan begitupun mencetus kritikan daripada segelintir pihak yang percaya Malaysia belum bersedia untuk mempunyai pasukan sendiri.

Lebih-lebih lagi, pasukan berkenaan akan menggunakan pelumba asing, Franco Morbidelli dari Itali dan penunggang Perancis, Fabio Quartararo bagi tahun pertamanya.

Razlan bagaimanapun menegaskan penubuhan awal pasukan adalah suatu keperluan bagi pembangunan masa depan dan ia sudah pun menjadi daya penarik positif terhadap dua lagi pasukan di kancah Moto2 dan Moto3.

“Pada awalnya, fokus adalah terhadap Moto2 dan Moto3 tetapi kami ditanya oleh PETRONAS untuk melihat apa peluang yang ada dan persembahkan kepada mereka, kami tidak akan dapat melakukan perkara ini tanpa penaja utama.

“Petronas melihat kepada perkara ini (untuk menaja pasukan MotoGP) dari setiap sudut, komersial, teknologi dan pembangunan dan ia sejajar dengan objektif mereka, jadi mereka berkata ya.

“Mereka berhasrat untuk menyertai MotoGP sebelum ini tetapi tidak berpeluang. Kami bagaimanapun, mempunyai peluang berikutan hubungan baik kami dengan Dorna (pemegang hak penganjuran MotoGP).

“Seperti saya katakan sebelum ini, dengan kehadiran PETRONAS, ia membolehkan kami menyertai MotoGP dan ia menarik lebih banyak penaja yang turut menampung kos untuk pasukan Moto2 dan Moto3 kami.

“Ia adalah landasan yang diperlukan untuk pelumba kita melangkah ke MotoGP, kamu tidak boleh menunggu sehingga kamu mempunyai pelumba yang bersedia dan hanya berfikir untuk membina pasukan, kamu perlu mengambil peluang jika ia datang.”

Razlan menambah pihaknya sudah menetapkan pelan selama dua tahun untuk Khairul Idham Pawi sebagai persediaan untuknya melangkah ke kelas elit, MotoGP pada 2020 atau 2021 selain menandatangani Hafizh Syahrin Abdullah di masa depan.

Khairul tahun depan akan beraksi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing dalam kelas Moto2 manakala Hafizh akan terus berlumba bersama pasukan Tech3.

424 dibaca
Berita Harian X