Selasa, 9 Oktober 2018 | 10:08am
LEWIS Hamilton. - Foto EPA

Hamilton mampu pecah rekod Schumacher

LONDON: Apabila Michael Schumacher memenangi kejuaraan dunia Formula Satu (F1) kali ketujuh bersama Ferrari pada tahun 2004, rekod itu kelihatan sukar dipecahkan, namun Lewis Hamilton dan Mercedes bakal mengubah fakta berkenaan.

Pemandu Britain itu menempatkan diri dalam kelompok tiga pemandu yang pernah memenangi sekurang-kurangnya lima gelaran dunia, dengan pasukannya mengukuhkan kedudukan selepas tamatnya Grand Prix Jepun, hujung minggu lalu.

Pemandu berumur 33 tahun itu mempunyai kontrak sehingga penghujung 2020, namun perubahan kepada peraturan enjin mungkin hanya dilakukan paling awal sehinggalah 2021 yang dikatakan bakal mengubah senario perlumbaan.

“Katakanlah anda memenangi kejuaraan ini … Lewis merangkul satu lagi gelaran, bolehkah dia mencapai tujuh?” kata juara dunia 1996, Damon Hill.

Pemandu yang berasal dari Austria itu menegaskan tiada apa yang boleh diambil mudah.

“Saya rasa apa yang penting adalah meningkatkan diri dan meletakkan objektif yang baharu,” katanya.

“Dan selalunya ada risiko merasa berpuas hati, hingga menyebabkan terlepas sasaran, jadi kami meletakkan sasaran yang tinggi.”

Rekod Hamilton sebenarnya sudah menandingi Schumacher dan dalam beberapa aspek, dia sudah melebihi pencapaian pemandu hebat Jerman itu.

Pada Sabtu lalu, Hamilton menambah rekod untuk berada di kedudukan petak utama buat kali ke-80 daripada keseluruhan 225 perlumbaan, berbanding Schumacher yang mencatatkan 68 petak utama daripada 307 perlumbaan.

Pada keesokan harinya, Hamilton mencatat kemenangan ke-27, kurang 20 daripada apa yang dilakukan Schumacher dengan 91 kemenangan.

Hamilton memenangi sembilan perlumbaan setakat ini pada musim ini dan dijangka akan menggandakan kemenangan itu hingga hujung tahun ini. – Reuters

 

605 dibaca
Berita Harian X