Ahad, 7 Oktober 2018 | 4:49pm
Lewis Hamilton (tengah) meraikan kemenangannya bersama pemenang tempat kedua, Valtteri Bottas (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Max Verstappen. - Foto AFP

Hamilton tawan Suzuka

SUZUKA: Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix (GP) Jepun untuk memastikan pasukan Mercedes menguasai kedudukan pertama dan kedua sekali gus menghampiri gelaran juara dunia Formula Satu (F1) yang kelima.

Pelumba Britain itu mendominasi saingan di Suzuka, menjarakkan kedudukan ke atas pelumba Ferrari, Sebastian Vettel kepada 67 mata dengan hanya berbaki empat perlumbaan.

Vettel terpaksa berpuas hati di kedudukan keenam susulan pelanggaran di peringkat awal dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Mercedes, Valtteri Bottas meraih tempat kedua sementara Verstappen menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

“Woo-hoo! Saya sayang anda semua!” Hamilton menjerit kepada radio pasukan selepas kemenangan keenamnya dalam tujuh perlumbaan terakhir.

“Saya harap anda semua tidak bosan dengan perkara ini.”

Vettel perlukan kemenangan untuk terus mencabar kejuaraan namun permulaan yang kurang baik termasuk terbabit dengan perlanggaran dengan Verstappen pada pusingan kelapan merencatkan harapannya.

Pelumba Jerman itu yang bermula dari petak kelapan terpaksa bekerja keras untuk bangkit daripada kedudukan ke-19 selepas perlanggaran itu dan hanya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.

Hamilton akan mengekalkan gelaran dunia jika dia memenangi perlumbaan seterusnya di Austin dan Vettel pula gagal menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

“Ia penamat yang hebat buat Mercedes apabila menguasai kedudukan satu-dua dan membuktikan kekuatan yang kami ada,” kata pelumba Britain itu selepas kejuaraan kelima di Jepun dan kesembilan musim ini.

“Saya tidak sabar untuk menamatkannya di Austin. Kami sudah pergi dari satu kekuatan ke satu kekuatan untuk tahun ini sebagai satu pasukan.”

Daniel Ricciardo menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat buat Red Bull manakala seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat kelima. - AFP

Keputusan

1. Lewis Hamilton (GBR/Mercedes) 307.471km dalam 1 jam 27 minit 17.062 saat

2. Valtteri Bottas (FIN/Mercedes) +12.919s

3. Max Verstappen (NED/Red Bull) +14.295s

4. Daniel Ricciardo (AUS/Red Bull) +19.495s

5. Kimi Raikkonen (FIN/Ferrari)  +50.998s

6. Sebastian Vettel (GER/Ferrari) +1:09.873s

7. Sergio Perez (MEX/Force India) +1:19.379s

8. Romain Grosjean (FRA/Haas)  +1:27.198s

9. Esteban Ocon (FRA/Force India) +1:28.055s

10. Carlos Sainz Jr (ESP/Renault) 1 pusingan

 

609 dibaca
Berita Harian X