Ahad, 7 Oktober 2018 | 12:02pm
Sebastian Vettel beraksi dalam sesi kelayakan Grand Prix Jepun di Suzuka. - Foto EPA

Bukan salah sesiapa: Vettel

SUZUKA: Sebastian Vettel mempertahankan tindakan Ferrari menggunakan tayar ‘intermediate’ di atas litar kering ketika sesi kelayakan Grand Prix Jepun semalam menyebabkan dia bakal memulakan perlumbaan di tempat kesembilan hari ini.

Ferrari yang menjangkakan hujan mengarahkan tayar ‘intermediate’ digunakan pada jentera Vettel dan rakan sepasukan Kimi Raikkonen pada peringkat akhir sesi kelayakan.

Tetapi litar kekal kering dan memaksa kedua-duanya masuk semula ke pit untuk menukar tayar yang lebih lembut.

Percaturan strategi mereka tidak menjadi apabila hujan mula turun dan menyebabkan Vettel melakukan kesilapan di pusingan pertama. Dengan hujan bertambah lebat dia gagal mencipta masa lebih pantas.

Sebaliknya pendahulu kategori ‘championship’ Lewis Hamilton yang menggunakan tayar ‘super soft’ sejak awal perlumbaan menduduki petak pertama bersama jentera Mercedesnya.

'Apabila keadaan seperti ini anda tak pasti sama ada anda salah atau tidak, jadi saya tak salahkan sesiapa,” kata Vettel yang harapannya untuk mengejar kejuaraan tampak semakin pudar.

'Jika hujan turun lima, enam atau tujuh minit lebih awal, kami mampu cipta keajaiban kerana kami lebih bijak tetapi kami akhirnya yang tampak bodoh.”

“Oleh itu saya mempertahankan keputusan itu. Ia adalah keputusan kami sebagai sebuah pasukan,” kata Vettel.

Vettel kini ketinggalan 50 mata di belakang Hamilton dengan tinggal empat lagi perlumbaan selepas Suzuka. -AGENSI

538 dibaca
Berita Harian X