Ahad, 7 Oktober 2018 | 12:29am
BRENDON Hartley akan memulakan saingan di Litar Suzuka di petak keenam. - Foto EPA

Honda tebus 'aib' di Jepun

SUZUKA, Jepun: Tiga tahun lalu, Honda meninggalkan Grand Prix Jepun dengan rasa aib selepas pelumba McLaren, Fernando Alonso menyamakan unit kuasa Formula Satu dibekalkan syarikat itu dengan ‘enjin GP2.’

Begitupun semalam, pengeluar kenderaan dari Jepun itu yang kini menjadi pembekal enjin pasukan Toro Rosso meraikan satu daripada kelayakan paling mengujakan selepas pelumbanya, Brendon Hartley akan memulakan saingan di Litar Suzuka di petak keenam dan Pierre Gasly, ketujuh.

McLaren, yang kini menggunakan enjin Renault berada di barisan belakang dengan Alonso di petak ke-18 dan seorang lagi pelumbanya, Stoffel Vandoorne ke-19.

“Kini kami boleh bersaing di Q3!” tulis Toro Rosso dalam Twitter dengan menujukan kepada Alonso yang membuat kenyataan sama selepas menamatkan GP Australia di tempat kelima, perlumbaan pertama McLaren sejak berpisah dengan Honda.

Honda yang menggunakan unit kuasa dinaiktaraf minggu ini kembali ke arena F1 pada 2015 selepas membekalkan enjin secara eksklusif kepada McLaren dengan sasaran kerjasama itu akan mengembalikan semula kegemilangan pasukan itu pada era 80-an dan 90-an.

Begitupun, selama tiga tahun, McLaren mengalami kekecewaan selepas enjin yang dibekalkan kepada Honda terbukti tidak tahan lasak dan kurang berkuasa.

Alonso yang juga juara dunia dua kali pada 2005 dan 2006, mencipta sensasi apabila meluahkan kekecewaannya menerusi radio pasukan selepas GP Jepun pada 2015 apabila membandingkan enjin Honda dengan enjin yang digunakan terhadap jentera sokongan F1, GP2 yang ketika ini dikenali F2.

Hubungan antara McLaren dan Honda tidak bertambah baik sejak itu dan pasukan itu mengambil keputusan untuk beralih kepada Renault manakala Honda bergandingan dengan Toro Rosso dan mereka dijadual bekerjasama dengan Red Bull musim depan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Honda,” kata Hartley yang merakam sesi kelayakan terbaik kariernya. “Untuk melakukannya di depan semua peminat Honda dan Jepun amat istimewa.” - Reuters

999 dibaca
Berita Harian X