Jumaat, 14 September 2018 | 9:47pm
Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo beraksi pada sesi latihan bebas perlumbaan F1, GP Singapura. - Foto REUTERS

Ricciardo terpantas, Leclerc memalukan

SINGAPURA: Daniel Ricciardo mencatatkan masa terpantas pada sesi latihan bebas pertama hari ini, menjelang perlumbaan Formula Satu (F1), Grand Prix (GP) Singapura, namun pengganti Kimi Raikkonen untuk jentera Ferrari berdepan detik memalukan.

Charles Leclerc turun pada sesi latihan bebas pertama selepas diumum sebagai rakan sepasukan kepada Sebastian Vettel musim depan, melakukan kesilapan di penghujung sesi latihan.

Pemandu berusia 20 tahun itu melakukan kesilapan di Jambatan Anderson sehingga menyebabkannya melanggar tembok di selekoh ke-13, sekali gus menyebabkan kerosakan tayar depannya.

Ricciardo yang menamatkan saingan di kedudukan kedua sejak tiga tahun lalu, mencatat masa terpantas 1 minit 39.711 saat di Litar Marina Bay.

Rakan sepasukan, Max Verstappen mencatat masa kedua terpantas, tetapi pendahulu kejuaraan pemandu, Lewis Hamilton hanya sekadar mencatat masa keenam terpantas bersama jentera Mercedes.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang ketinggalan 30 mata di belakang Hamilton, ketiga terpantas, sementara Raikkonen di tangga keempat.

Nico Hulkenberg bersama jentera Renault mempamerkan pemanduan meyakinkan apabila mencatat masa kelima terpantas, tetapi rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas sekadar kelapan terpantas. - AFP

 

381 dibaca
Berita Harian X