Khamis, 17 Mei 2018 | 4:31pm
PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman kini menduduki tangga ketiga keseluruhan bagi kelas SuperSports 600cc. - Foto Asia Road Racing

Azlan nekad cari penamat di podium di Suzuka

KUALA LUMPUR: Penamat di pentas podium menjadi sasaran Azlan Shah Kamaruzaman di Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang dijadual berlangsung di Litar Suzuka, Jepun pada 1 hingga 3 Jun ini.

Selepas dua pusingan musim 2018 berlangsung, pelumba pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu kini menduduki tangga ketiga keseluruhan bagi kelas SuperSports 600cc di belakang pendahulu, Anthony West dari Australia.

Azlan yang beraksi dalam kelas perdana SuperSports mengumpul 38 mata, ketinggalan tujuh mata di belakang West dan hanya dibezakan empat mata berbanding pelumba di tangga kedua, Yuki Ito (Jepun).

Mengulas mengenai persiapan dan sasaran di Suzuka, Azlan berkata, pasukan mempunyai data mencukupi untuk mencari pelarasan terbaik di sana.

"Untuk Suzuka, kami memang mempunyai pelarasan yang baik," kata pelumba senior berusia 33 tahun dari Klang, Selangor itu.

"Di Suzuka nanti, kami berharap dapat menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik."

Tahun lalu, Azlan muncul juara bagi kelas perdana itu dengan 155 mata keseluruhan dan hanya dibezakan dua mata daripada pencabar terdekat yang juga rakan senegara, Zaqhwan Zaidi.

Bagi musim 2018, Azlan juga dijadual menyertai Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) dalam kelas Superbike sebagai persediaan menghadapi saingan kelas baharu 1000cc di ARRC tahun depan.

182 dibaca
Berita Harian X