Isnin, 16 April 2018 | 10:02pm
PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin bersedia untuk memburu penamat di podium pada musim ketiganya dalam Moto3 kali ini. - Foto SIC Racing team

Adam mahu buang badi di COTA

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin berharap dapat membawa momentum prestasi terbaiknya dalam kancah Moto3 di Grand Prix (GP) Argentina ke GP Amerika Syarikat, minggu ini.

Adam mempamerkan prestasi terbaik di Sirkit Termas de Rio Hondo, dua minggu lalu apabila berada di tangga kedua dalam sesi latihan bebas kedua sebelum meraih petak keempat untuk perlumbaan. 

Dia kemudiannya menamatkan perlumbaan di tangga kelima.

Prestasinya itu sekali gus memberi bayangan dia sudah bersedia untuk memburu penamat di podium pada musim ketiganya dalam Moto3 kali ini.

Bagaimanapun, pelumba berusia 19 tahun itu mengakui Circuit of the Americas (COTA) di Austin, Texas sering tidak memihak kepadanya sebelum ini.

Dia terkeluar daripada perlumbaan pada tahun pertamanya dalam Moto3 pada 2016 dan meraih penamat ke-19 selepas memulakan perlumbaan dari petak ke-25 tahun lalu.

"Texas (COTA) adalah trek yang saya bergelut setiap tahun," kata Adam.

"Namun saya mempunyai keyakinan lebih baik musim ini dan saya juga lebih yakin dengan motosikal.

"Jujurnya, matlamat utama saya untuk mengumpul sebanyak mana mata yang termampu dan saya akan memberikan yang terbaik minggu ini."

294 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »