Isnin, 16 April 2018 | 9:06pm
PROMOTER Formula 4 SEA, Peter Thompson (dua dari kanan), mensasarkan 18 pemandu untuk mengambil bahagian pada musim 2018. - Foto Supian Ahmad

India venue baharu F4 SEA 2018

KUALA LUMPUR: India dijadual mengisi slot baharu dalam kalendar Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) bagi musim 2018-19 yang akan membuka tirainya Julai ini.

Selain India, Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Antarabangsa Buriram di Thailand bakal menjadi tuan rumah seperti biasa.

"Buat julung kali juga India akan diperkenalkan dan dijadikan sebagai venue perlumbaan pada bulan September sebelum ke Thailand pada Oktober," kata promoter F4 SEA, Peter Thompson.

Litar Antarabangsa Sepang juga bakal menjadi pusingan pembuka tirai pada 7 hingga 8 Julai ini sebelum menjadi tuan rumah bagi pusingan kedua, minggu berikutnya.

Litar sepanjang 5.543km itu juga dijadual menganjurkan dua perlumbaan terakhir kejuaraan pada 23 hingga 25 November sebelum musim 2018 menutup tirainya, pada 1 hingga 2 Disember ini.

Untuk musim 2018, Thompson mensasarkan 18 pemandu untuk mengambil bahagian dan menjangkakan penambahan dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai musim 2017/18 yang menutup tirainya di Sepang semalam, Thompson berkata: "Secara keseluruhannya, matlamat kami dalam penganjuran perlumbaan ini sudah tercapai untuk membangunkan sukan ini di rantau Asia Tenggara meskipun berdepan cabaran daripada faktor keadaan ekonomi semasa.

"Sudah tentu FIA gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan dari rantau Asia Tenggara dan kami akan mempertingkatkan lagi usaha mempromosikan kejuaraan ini ke satu peringkat lebih baik lagi."

106 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »