Ahad, 15 April 2018 | 4:48pm
PELUMBA Red Bull, Daniel Ricciardo (dua dari kanan) bersama trofi kemenangan selepas menjuarai GP China di Litar Antarabangsa Shanghai, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Ricciardo juarai GP China

SHANGHAI: Pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo meraikan kemenangan dengan tradisi 'shoey' (minum menggunakan kasut) selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) China dengan penuh mendebarkan, hari ini.

Pelumba Australia itu muncul juara meskipun memulakan perlumbaan di Litar Antarabangsa Shanghai pada petak keenam untuk kemenangan keenam sepanjang kariernya.

"Rasanya saya tidak memenangi perlumbaan yang membosankan. Semua perlumbaan yang dimenangi sering kali menghiburkan," kata Ricciardo yang mengisi minuman ke dalam salah satu butnya dan kemudian meminumnya bagi meraikan kejayaan.


DANIEL Ricciardo ketika melepasi garis penamat untuk juarai GP China. - Foto AFP

Ricciardo turut melontarkan pujian kepada kru dan mekaniknya yang bekerja keras selepas dia berdepan masalah kerosakan enjin pada sesi latihan terakhir sebelum mengharungi pusingan kelayakan.

"24 jam sebelum ini saya menjangkakan kami akan memulakan perlumbaan di petak paling belakang. Jadi terima kasih kepada semua kru dan kemenangan ini adalah ganjaran usaha keras mereka."

Ricciardo mendahului ketika perlumbaan berbaki 10 pusingan apabila dia memintas  Valtteri Bottas yang menamatkan saingan di tangga kedua dan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen melengkapkan podium.


DANIEL Ricciardo meraikan kemenangan dengan tradisi 'shoey' selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) China. - Foto AFP

Pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel yang mendahului dari kedudukan grid utama sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelapan selepas bertembung dengan Max Verstappen yang dikenakan penalti 10 saat kerana melanggar pelumba Jerman itu.

Penyandang juara, Lewis Hamilton di tangga kelima di belakang Verstappen namun dinaikkan ke tangga keempat selepas penalti yang dikenakan ke atas Verstappen.

"Sangat mengecewakan. Kami memberikan segalanya yang kami ada. Seharusnya kemenangan menjadi milik kami namun ia bukanlah hari kami," kata Bottas.

Selepas keputusan di GP China, Mercedes melonjak selaku pendahulu dengan 85 mata mengatasi Ferrari dengan satu mata sementara Vettel kini hanya berkelebihan sembilan mata di hadapan Hamilton. - AFP

Keputusan perlumbaan GP China

1. Daniel Ricciardo    Red Bull        1 jam 35:36.380 saat

2. Valtteri Bottas     Mercedes      + 0:08.894

3. Kimi Raikkonen     Ferrari        + 0:09.637

4. Lewis Hamilton     Mercedes      + 0:16.985

5. Max Verstappen     Red Bull        + 0:20.436

6. Nico Hulkenberg     Renault         + 0:21.052

7. Fernando Alonso     McLaren       + 0:30.639

8. Sebastian Vettel     Ferrari         + 0:35.286

9. Carlos Sainz Jr      Renault        + 0:35.763

10. Kevin Magnussen Haas         + 0:39.594

 

Kedudukan pelumba

1. Sebastian Vettel (GER) 54 mata

2. Lewis Hamilton (GBR) 45 mata

3. Valtteri Bottas (FIN) 40 mata

4. Daniel Ricciardo (AUS) 37 mata

5. Kimi Raikkonen (FIN) 30 mata

6. Fernando Alonso (ESP) 22 mata

7. Nico Hulkenberg (GER) 22 mata

8. Max Verstappen (NED) 18 mata

9. Pierre Gasly (FRA) 12 mata

10. Kevin Magnussen (DEN) 11 mata

 

Kedudukan pengeluar

1. Mercedes 85 mata

2. Ferrari 84 mata

3. Red Bull 55 mata

4. McLaren 28 mata

5. Renault 25 mata

6. Toro Rosso 12 mata

7. Haas 11 mata

8. Sauber 2 mata

9. Force India 1 mata

937 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »