;
Selasa, 13 March 2018 | 11:00pm
BEKAS pelumba negara, Shahrol Yuzy. - Foto Owee Ah Chun

Yuzy tak bimbang tiada 'peluru'

 

KUALA LUMPUR: Ketiadaan 'peluru' dalam pasukan GiVi Honda Yuzy Racing untuk saingan CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2018 bukan masalah utama buat pengurusnya, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Shahrol Yuzy yang juga bekas pelumba negara pada Kejuaraan Motosikal Dunia berkata, ketiadaan Zaqhwan Zaidi sememangnya dirasai namun penggantinya kali ini, Azroy Hakeem Anuar dilihat mampu menjadi senjata baharu buat pasukan.

Selain Azroy, turut membarisi senarai pasukan dalam kelas perdana itu adalah dua muka baharu, Harith Farhan Baharin dan Mohd Aiman Azman.

"Tahun ini kami menampilkan muka baharu dalam kelas CP150," kata Shahrol Yuzy.

"Semua mereka tidak pernah beraksi dalam CP150 tetapi ia juga satu tugas berat bagi pasukan. Apapun, kami tetap yakin dengan pelumba ini di mana mereka boleh bersaing dengan pasukan lawan.

"Zaqhwan tidak bersama kami tahun ini di atas permintaan Honda Jepun kerana dia perlu memberi tumpuan kepada kejuaraan Seluruh Jepun. Kami akur dan itu adalah jalan terbaik untuknya.

"Sudah tentu ada rasa sedih kerana peluru (Zaqhwan) itu tak ada bersama kami. Namun dia akan berada di Cub Prix juga, walaupun tak berlumba tetapi akan tetap memberi semangat kepada adik-adik dia (dalam pasukan).

"Kami memang ada rasa 'tewas' tetapi dalam masa sama, ia adalah satu perkara yang perlu diambil secara positif untuk bersaing pada 2018.

Untuk saingan dalam kelas CP115, pasukan GiVi Honda Yuzy Racing membariskan Md Amirul Ariff Musa dan anaknya, Shahrol Syazras.

"Amirul Ariff akan mengemudi kelas CP115 dan dia amat diperlukan atas kerana faktor senior dan pengalaman dimilikinya. Dia boleh mendidik pelumba baharu ini," kata Shahrol Yuzy.

786 dibaca
Berita Harian X