Isnin, 12 March 2018 | 10:18pm
PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah sedia beraksi untuk pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 di Grand Prix (GP) Qatar, minggu ini. - Foto FB Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao

Hafizh sudah bersedia - Poncharal

KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal menyifatkan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah sudah bersedia untuk pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 di Grand Prix (GP) Qatar, minggu ini.

Malah Poncharal berharap pelumba berusia 23 tahun itu mampu untuk melakukan kejutan pada penampilan sulungnya dalam kelas perdana, MotoGP.

"Kami gembira kerana memiliki Hafizh bersama kami," katanya dalam kenyataan. "Dia seorang pelumba muda berbakat dan menarik.

"Apapun, saya percaya yang dia sudah pun bersedia dan harap dia sekali lagi mampu melakukan kejutan ke atas beberapa pihak di paddock kami.

"Jadi, saya mengalu-alukannya untuk bersama keluarga Monster Yamaha Tech3 dan mengharapkan dia dapat melakukan yang terbaik pada musim ini demi masa depannya."

Hafizh bakal bergandingan dengan Johann Zarco - pelumba dari Perancis yang melakar tiga penamat di pentas podium tahun lalu.

Sementara itu Hafizh berkata, dia sudah bersedia untuk mengharungi musim penuh pertamanya dalam kelas perdana itu.

"Saya sudah bersedia dengan 100 peratus untuk mengharungi minggu pembukaan ini," katanya. "Ini kerana, saya sudah berlatih dengan begitu gigih sekali.

"Saya juga amat teruja dengan kerja pasukan ketika ujian (rasmi) di Losail. Saya harap usaha gigih ini berbaloi, bermula dari (sesi) ujian bebas pertama pada minggu ini," katanya.

2203 dibaca
Berita Harian X