;
Jumaat, 9 March 2018 | 10:49am
PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel lakukan rekod sepusingan pada sesi ujian Formula Satu semalam. - FOTO AFP

Vettel lakar rekod baru

MONTMELÓ, SEPANYOL: Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel memecahkan rekod sepusingan di Montmelo ketika sesi ujian Formula Satu semalam apabila mencatat 1min 17.182 bersama jentera Ferrari tetapi pantas mengatakan apa yang dilakukannya itu tidak membawa sebarang makna.

Pemandu Jerman itu yang melengkapkan 188 pusingan, memperbaiki catatan yang baru 24 jam dilakar pelumba Australia, Daniel Ricciardo bersama jentera Red Bull.

"Catatan masa hari ini tidak begitu bermakna," kata Vettel.

"Apa yang penting ialah jentera ini membuktikan kekuatannya, membenarkan kami mengharungi hari ini tanpa sebarang masalah.

"Kami masih berusaha untuk memperbaiki beberapa kelemahan sebelum perlumbaan sebenar dan adalah tidak wajar membuat sebarang andaian berdasarkan kepada prestasi pasukan lain ketika ini kerana masing-masing menjalankan program berbeza."

Juara bertahan, Lewis Hamilton dan rakan sepasukannya di Mercedes, Valterri Bottas menduduki tangga kelapan dan kesembilan dengan catatan 1:19.296 dan 1:19.532.

Sama seperti Vettel, Hamilton enggan melihat ujian pramusim sebagai gambaran sebenar mengenai apa yang akan berlaku musim ini terutama ketika perlumbaan di Australia bakal bermula dua minggu lagi.

"Litar ini berbeza berbanding sebelumnya kerana mereka membuat perubahan terhadap permukaannya," kata Hamilton.

"Justeru, sukar untuk mengetahui apa pengalaman yang boleh kami bawa ke Melbourne nanti. Tetapi, saya rasakan bahawa kami sedang berada di landasan betul."

Pemandu Red Bull, Max Verstappen mencatat 1:19.842 dan melengkapkan 187 pusingan, catatan kedua paling perlahan semalam.

"Tumpuan hari ini ialah untuk melengkapkan sebanyak mungkin pusingan," kata Verstappen.

"Tumpuan kami ialah untuk menguji ketahanan jentera. Tiada masalah dengan jentera dan saya gembira. Kami boleh meningkatkan prestasi selepas ini."

Hari ini ialah ujian terakhir pramusim sebelum tirai kejohanan di Melbourne bermula secara rasmi pada 25 Mac. - AFP

836 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »