Selasa, 6 March 2018 | 7:23pm
PELUMBA Honda Asia Dream, Zaqhwan Zaidi bersedia memberi tumpuan sepenuhnya pada penampilan sulung di Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun. - Foto FB Zaqhwan Zaidi

Zaqhwan fokus kepada JRRC

KUALA LUMPUR: Pemenang dua kali Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Zaqhwan Zaidi bersedia melupakan seketika pemburuan gelaran ketiganya dalam siri berkenaan untuk memberi tumpuan sepenuhnya pada penampilan sulung di Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun (JRRC).

Muncul sebagai pelumba Malaysia beraksi dalam JRRC, pelumba Honda Asia Dream itu percaya penting untuknya membawa impak dalam siri berkenaan yang menyaksikan dia akan berlumba dalam kelas JSB1000.

Secara keseluruhannya, Zaqhwan akan bertanding dalam acara utama musim ini - JRRC, ARRC dan Suzuka Eight-Hour Endurance.

"Jelas sekali, saya mahu memenangi satu lagi gelaran ARRC dan saya akan berusaha untuknya, bagaimanapun terdapat beberapa pusingan yang menyaksikan ia bertembung dengan JRRC," kata pelumba berusia 22 tahun itu.

"Buat masa ini saya lebih fokus terhadap JRRC, salah satu alasannya kerana saya pelumba pertama Malaysia mengambil bahagian dalam siri terbabit.

"JRRC lebih mencabar daripada sangkaan saya, terdapat beberapa pelumba yang mempunyai pengalaman beraksi dalam MotoGP. Jadi ia lebih kompetitif."

Katsuyuki Nakasuga yang menjuarai JRRC SB1000 lima tahun berturut-turut dari 2012 hingga 2016, dan juara tahun lalu, Takumi Takanashi kedua-duanya adalah pelumba berpengalaman yang pernah beraksi dalam MotoGP.

JRRC akan berlangsung dari April hingga November depan membabitkan sembilan pusingan manakala ARRC pula hanya membabitkan enam pusingan bermula bulan ini hingga Disember.

390 dibaca
Berita Harian X