Ahad, 11 Februari 2018 | 9:22pm
PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin lebih selesa berada di Sepanyol. - Foto Osman Adnan

Hafizh lebih selesa berpangkalan di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah memberi bayangan yang dirinya akan terus berpangkalan di Barcelona, Sepanyol untuk musim ini berbanding di laman pasukan Monster Yamaha Tech3, di Perancis.

Pelumba yang bakal membuat kemunculan pertamanya bersama pasukan di ujian rasmi kelas MotoGP di Sirkit Antarabangsa Buriram bermula Jumaat ini berkata, keputusan itu adalah lebih baik apatah lagi sudah serasi dengan cuaca dan juga bahasa di Sepanyol.

Pelumba berusia 24 tahun itu berkata, dia hanya akan ke Perancis sekiranya dipanggil pasukan di mana perjalanan menerusi udara dianggarkan kurang daripada dua jam.

"Pasukan berpangkalan di Perancis dan saya akan berpangkalan di Sepanyol," kata Hafizh. "Saya akan kekal di Sepanyol kerana saya lebih selesa berada di Sepanyol.

"Saya sudah boleh berkomunikasi dalam bahasa Sepanyol dan saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri untuk menetap di Perancis di mana saya perlu mempelajari bahasa mereka lagi dan serasikan dengan cuaca yang tidak menentu di Perancis.

"Saya juga lebih selesa cuaca di Sepanyol."

Sirkit Antarabangsa Buriram dijadual menyambut kedatangan pelumba dan pasukan MotoGP selama tiga hari bermula Jumaat ini dan litar baharu dalam kalendar MotoGP 2018 itu juga difahamkan bakal menyaksikan Hafizh menandatangani kontrak musim penuh bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

1422 dibaca
Berita Harian X