Ahad, 14 Januari 2018 | 7:48pm
PELUMBA Asia Road Racing Championship, Azlan Shah Kamaruzzaman anggap kemalangan tak halang semangatnya untuk berlumba di Buriram, Thailand esok. - Foto Mahzir Mat Isa

Lidah Azlan Shah kena jahit akibat kemalangan

SEPANG: "Insiden ini tidak menghalang saya untuk fokus menjelang saingan perlumbaan musim ini," kata pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang terbabit dengan kemalangan jalan raya di Rawang, tengah malam tadi.

Dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah difahamkan berlanggar dengan sebuah lori yang menyebabkan keretanya mengalami kerosakan teruk dalam insiden malang itu.


KEADAAN kereta Azlan Shah yang mengalami kerosakan teruk dalam insiden malang, tengah malam semalam. - Foto Azlan Shah Kamaruzaman

Azlan yang muncul juara kelas Supersports 600cc dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tahun lalu, dihantar oleh orang awam ke Hospital Selayang dengan dia menerima tujuh jahitan di lidahnya.

"Saya dalam perjalanan nak balik rumah dari Sunway. Jalan itu memang gelap dan saya tak perasan terlanggar lori berkenaan.

"Lepas berlanggar saya terus pengsan, sedar-sedar saja sudah ada di hospital. Nasib baik tak ada kecederaan teruk, cuma lidah saya kena jahit selain telefon bimbit dan duit hilang."

Ekoran jahitan di lidah, agak sukar untuk saya bercakap dan makan. Saya cuma boleh makan bubur saja.

"Tetapi ia tidak akan mengganggu fokus dan tumpuan saya untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu," katanya ketika ditemui pada program 'Impian ke Moto GP' bersama Zulfahmi Khairuddin di Litar Antarabangsa Go-Kart, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persiapannya, Azlan dijadualkan berangkat ke Litar Sirkit Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand esok bagi menjalani latihan pramusim di sana.

"Semangat dan motivasi saya tetap sama macam tahun lalu. Walaupun saingan tahun ini dijangka lebih sengit, saya percaya masih mampu memberi cabaran kepada semua pesaing," katanya yang berlumba atas tiket pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing dari Indonesia.

2096 dibaca
Berita Harian X