Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:08pm
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (empat kanan), Bekas pelumba Moto 3 Negara, Zulfahmi Khairuddin (enam kanan), memberi kata semangat kepada peserta sesi pemilihan Impian ke Moto GP bersama Zulfahmi Khairuddin di Litar Go- Kart Sepang. - Foto Sairien Nafis

Isu penaja Hafizh Syahrin selesai

SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengesahkan isu penajaan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah hampir selesai dengan beberapa syarikat bersedia untuk membiayai pelumba berusia 24 tahun itu.

Jelas Razlan, selepas PETRONAS menarik diri daripada menjadi penaja utama musim ini, SIC sudah berusaha sedaya upaya mencari prospek penaja baharu bagi memastikan Hafizh terus kekal bersaing di perlumbaan terkemuka dunia itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan status penajaan itu yang hanya akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

"Soal penajaan Hafizh rasanya tidak ada masalah dan dia tetap akan berlumba di saingan Moto2 tahun ini.

"Malah, dia akan kembali ke Barcelona, Sepanyol pada 16 atau 18 Januari ini bagi meneruskan latihan pramusim sebelum kembali semula ke sini (Malaysia) pertengahan bulan depan untuk sesi ujian di Litar Sepang.

"Kami sentiasa berhasrat untuk mengembangkan bakat pelumba kita dengan berusaha mencari penaja untuk pelumba. Tapi saya tak boleh dedahkan sekarang siapa penaja utama itu kerana ia dalam peringkat akhir.

"InsyaAllah, selepas semua urusan selesai saya akan umumkan penaja baharu Hafizh nanti," katanya ketika ditemui pada program 'Impian ke Moto GP' bersama Zulfahmi Khairuddin yang berlangsung di Litar Antarabangsa Go-Kart, di sini, hari ini.

Sebelum ini, syarikat petroleum negara iaitu PETRONAS mengumumkan yang mereka tidak lagi menaja Hafizh untuk beraksi dalam kelas Moto2 tahun ini dan hanya akan menyalurkan tajaan kepada pembangunan akar umbi antaranya pasukan SIC bagi kelas Moto3.

Perkara itu secara tidak langsung meletakkan status penaja utama untuk pasukan Moto2 yang juga di bawah SIC disertai Hafizh menjadi tanda tanya dan dibimbangi mengganggu perkembangan pelumba muda negara itu.

Sementara itu, Razlan turut berpuas hati dengan program 'Impian ke Moto GP' yang dikendalikan pelumba berpengalaman, Zulfahmi Khairuddin.

Program uji bakat khas ala 'American Idol' itu dianjurkan bagi mengenal pasti pelumba motosikal muda yang berpotensi untuk diangkat menjadi pelumba MotoGP, pada masa depan.

"Hari ini sambutan amat menggalakkan di mana pelumba berusia dari 13-15 tahun dikumpulkan dalam uji bakat ini. Zulfahmi akan bertindak sebagai mentor dan memilih lima pelumba terbaik untuk didedahkan dengan tahap tertinggi," katanya.

575 dibaca
Berita Harian X