Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:21am
PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton berdiam diri kebelakangan ini, ia tentu sekali menarik perhatian ramai. - Foto Osman Adnan

Hamilton 'merajuk'?

Birmingham, England: Pos Lewis Hamilton di media sosial sering menjadi bahan perbincangan dalam Formula Satu (F1) namun apabila juara dunia empat kali itu berdiam diri kebelakangan ini, ia tentu sekali menarik perhatian ramai.

Pelumba Mercedes itu menamatkan 2017 dengan memadam semua pos di akaun Twitter dan Instagram selepas pengkritik mengecam komen yang diberikannya terhadap anak saudaranya yang memakai gaun merah jambu.

"Budak lelaki tidak memakai gaun puteri," kata pelumba Britain itu dalam sebuah video di instagram dan kemudiannya meminta maaf dan memadamkannya keesokan harinya.

Hamilton atau pasukan medianya kemudian membuang sejumlah kandungan dan foto daripada akuannya, tanpa memberikan sebarang penjelasan yang dianggap ramai sebagai reaksi emosional terhadap kritikan itu.

Tahun baru dan hari lahir pelumba Britain itu pada 7 Januari berlalu sepi tanpa sebarang kata-kata.

Hamilton memiliki populariti hebat berbanding pelumba F1 lainnya dengan mengumpul 5.7 juta pengikut di Instagram dan 5.26 juta di Twitter yang sering mengikuti perkembangan mengenai gaya hidup selebriti yang dilaluinya serta gaya berfesyennya.

Pemilik F1 Liberty Media, yang mengambil alih pengurusan sukan itu tahun lalu, mengambil pendekatan 'utamakan peminat' dengan media sosial menjadi strategi utama mereka.

Pengarah eksekutif McLaren Zak Brown berkata sukan itu memerlukan pembabitan Hamilton.

"Jelas sekali jumlah maklum balas itu mengecewakannya hingga ke tahap tidak mahu berbuat apa-apa," kata Brown ketika pertunjukan Autosports Antarabangsa hari ini.

"Sesuatu yang memalukan bagi semua peminat sukan permotoran yang yang mencintai Lewis dan ingin tahu apakah perkembangannya. Saya harap situasi akan kembali tenang."- Reuters

983 dibaca
Berita Harian X