Ahad, 7 Januari 2018 | 8:45pm
JAZEMAN Jaafar (kiri) ditemani ayahnya, Datuk Jaafar Abdul Hamid harap mampu memberikan aksi terbaik. - Foto Osman Adnan

Jazeman harap permulaan baik di Buriram

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Jazeman Jaafar bakal memulakan aksi di perlumbaan Siri Le Mans Asia menjelang saingan di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, Khamis ini.

Jazeman menyertai pasukan berpangkalan di China, Jackie Chan DC Racing X Jota itu sebelum perlumbaan pusingan kedua di Litar Antarabangsa Speedway Fuji di Jepun, pada 1 hingga 3 Disember lalu.

Ketika itu, dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, bersama rakan sepasukan dari Amerika Syarikat, David Cheng untuk kelas LMP2.

Dia akan beraksi bersama rakan senegara, Afiq Ikhwan Yazid serta Weiron Tan yang menyertai pasukan itu pada hujung Disember lalu.

Untuk saingan kali ini, Jazeman, yang berlumba di Siri Blancpain Endurance, dua tahun lalu berharap dia mampu memberikan aksi terbaik.

"David tidak akan beraksi di Le Mans Asia musim ini, jadi kami mempunyai barisan pelumba baharu untuk saingan di Buriram.

"Pertama sekali, kami perlu mencari keserasian, bekerja secara berpasukan dan berharap mampu mencatat keputusan cemerlang.

"Saya masih perlu belajar banyak perkara kerana kategori LMP2 sangat baru bagi saya. Ia sama seperti perlumbaan sebelum ini, membabitkan endurance dan kami perlu fokus terhadap strategi, penggunaan minyak dan tayar.

"Bagaimanapun, teknik perlumbaan sangat berbeza kerana terdapat lebih banyak daya (downforce) yang menjadikan jentera LMP2 lebih laju," kata pelumba berusia 25 tahun itu yang tidak pernah beraksi di litar Buriram sebelum ini. "Saya tidak pernah berlumba di Buriram sebelum ini, tetapi apa yang saya tahu ia lebih landai dengan tidak banyak selekoh tajam dan litar itu sesuai dengan jentera kami."

Pada masa sama, Jazeman juga menjangkakan rakan sepasukan, Thomas Laurent, Harrison Newey dan Stephane Richelmi, yang berlumba dengan jentera nombor lapan, serta pasukan BBT mampu memberi saingan untuk merebut kejuaraan di Thailand.

Perlumbaan terakhir untuk musim ini akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Februari depan.

274 dibaca
Berita Harian X